KOTA BAHRU, 13 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) telah melaksanakan Eksesais URBAN EAST COAST TIGER Siri 3/2023 pada 8 hingga 11 Mei lalu.
Pihak Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) menjelaskan, latihan yang berkonsepkan Operation In Build-Up Area (OBUA) ini melibatkan 4 orang pegawai dan 54 anggota.
Menurut 8 Bgd, eksesais siri ke-3 ini merupakan eksesais peringkat pasukan yang terakhir bagi tahun 2023 setelah siri 1 dan 2 berjaya dilaksanakan pada bulan Januari dan Februari 2023 yang lalu.
“Objektif utama penganjuran eksesais ini adalah untuk melatih anggota-anggota 16 RAMD agar berupaya melaksanakan operasi di kawasan terbina mengikut taktik, teknik dan prosedur sebagaimana yang telah ditetapkan,
“Selain itu, eksesais ini juga adalah sebagai persediaan bagi menghadapi Eksesais KERIS STRIKE bersama U.S Army Pacific (USARPAC) yang akan bermula pada bulan Julai 2023 tidak lama lagi,” jelas 8 Bgd dalam hantaran di media sosialnya.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Memerintah 16 RAMD, Mejar Muhammad Azizi Othman, pada Khamis.
Upacara penutup turut disajikan dengan demonstrasi serangan akhir bertempat di OBUA Village, Kem Desa Pahlawan.
Dalam ucapannya, Muhammad Azizi menzahirkan ucapan syabas kepada semua peringkat anggota yang terlibat kerana berjaya mempamerkan satu demonstrasi serangan akhir yang bertenaga biarpun terpaksa melaksanakan latihan dalam cuaca yang panas terik.
“Anggota-anggota juga diingatkan agar mengambil peluang meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan latihan yang dijalankan untuk digunakan semasa Eksesais Bilateral akan datang,” jelasnya.
Sebagai simbolik berakhirnya latihan, toha eksesais telah ditanggalkan melibatkan EXCON, Tim Evaluasi, Pelaku biru dan Pelaku merah. -airtimes.my
Geleri gambar: