[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=BJie_Rl5Ruo[/embedyt]
MAHIR mengendalikan payung terjun pada jarak ketinggian melebihi 15,000 kaki merupakan peranan utama pegawai dan anggota dari Skuadron Sierra (Skn Sierra), 11 Rejimen Gerak Khas (11 RGK) dalam melaksanakan operasi yang dipertanggungjawabkan.
Melaksanakan operasi melalui teknik penerjunan bebas dari aras tinggi (High Attitude High Opening, HAHO) bagi menyusup masuk ke kawasan dikuasai musuh bukanlah asing lagi bagi mereka.
“Anggota Skn Sierra pakar dalam penyusupan dan mereka boleh membuat penerjunan dari pelbagai jenis pesawat,” jelas Jurulatih Skn Sierra, Pegawai Waran I Ali Latip kepada Air Times.
Beliau berkata, hampir semua anggota Skn Sierra melaksanakan tugasan operasi khas yang tidak didedahkan kepada masyarakat umum.
Skn Sierra lakukan HAHO, penyusupan
Tegasnya, skuadron ini merupakan anggota yang mempunyai kepakaran melakukan penerjunan termasuk HAHO dan berkemampuan untuk melaksanakan penyusupan melalui udara.
“Skuadron ini adalah salah satu skuadron dalam 11 RGK dan mereka tidak digembar-gemburkan seperti Skuadron Melawan Keganasan,
“Kami banyak bekerja dibelakang tabir. Tugas utama mereka antaranya melakukan penyusupan ke kawasan musuh,
“Anggota kami terdiri dari mereka yang berkemahiran dan tidak terlalu menonjolkan diri kepada orang awam,
“Selain penyusupan, anggota Skn Sierra juga mahir mengendali payung terjung dengan baik. Apabila selesai mendarat, mereka akan membuat tugas ronda serta tinjau jarak jauh,” kata Ali yang telah berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 26 tahun.
Lebih 1,000 penerjunan
Mengulas mengenai pengalaman penerjunan pula, Ali menyatakan beliau telah melaksanakan lebih dari 1,000 kali penerjunan dan pernah mengalami kecederaan sepanjang melakukan tugasan tersebut.
“Saya telah bermula melakukan penerjunan pada 2010 sehingga sekarang. Pengalaman yang buruk seperti payung terjun tidak berkembang dengan baik dan ia pernah terjadi sebanyak 6 kali tetapi tidak mengalami kecederaan,
“Seingat saya, semasa di Kudat, Sabah, payung saya tidak dapat berfungsi dengan baik dan saya terpaksa buang payung utama kemudian menggunakan payung cadangan untuk terus mendarat,” ujarnya.
Sukan penerjunan sudah sebati dalam diri
Menurut Ali, perasaan takut setiap kali melaksanakan penerjunan sentiasa ada. Namun, berkat ilmu yang dipelajari dan latihan berterusan, mereka akan mampu mengendalikan payung terjun dengan baik.
“Perasaan takut ada, tetapi dengan pelajaran yang dipelajari, kita dapat ingat semula ilmu yang diajar dalam mengendalikan payung dan ia dapat diatasi dengan baik,
“Perassan takut akan berkurangan dan kami bekerja atas dasar pengalaman. Untuk sukan penerjunan ini, ia sudah sebati dalam jiwa dan saya akan teruskan apabila walau sudah tamat perkhidmatan,
“Separuh dari jiwa saya sudah sebati dengan penerjunan, ia tak akan luntur,” jelasnya.-airtimes.my