Squad King Cobra merupakan pasukan yang diasaskan oleh Pegawai Bomba Kanan II, Safiq Mohamad pada tahun 2015, anggota pasukan ini sememangnya terkenal dengan kemahiran mereka mengendalikan reptilia tersebut. Pasukan ini mempunyai visi dan misi cukup jelas yang mendukung dalam pelaksanaan tugas, operasi dan aktiviti mereka.
Visi skuad ini tidak lain lagi adalah menyasarkan untuk menjadi sebuah organisasi kebombaan dan juga penyelamatan yang berprestasi tinggi. Visi ini menjadi tunjang kepada misi mereka iaitu untuk menyampaikan ilmu mengenai reptilia ini kepada warga Jabatan Bomba dan juga rakyat malaysia.
Squad King Cobra yang berpangkalan di Akademi bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur itu mempunyai jurulatih berjumlah 7 orang manakala seramai 30 orang jurulatih untuk seluruh Malaysia.
Anggota bomba yang ingin menyertai Skuad King Cobra dikehendaki melalui dua fasa iaitu kursus asas pengendalian ular dan kursus kejurulatihan bagi pengendalian ular. Kursus ini dikendalikan oleh Safiq sendiri bersama anggota Squad King Cobra di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, dimana kursus ini merupakan satu latihan penekanan yang diterapkan kepada anggota mereka.
Jelas beliau, ini merupakan suatu usaha bagi membina serta melahirkan jurulatih yang berkaliber dan berkualiti bagi mengendalikan kursus-kursus di masa yang akan datang.
“Kita buat dalam 50 peratus teori dan 50 peratus praktikal, untuk teori kita adakan sesi pengenalan kepada spesies ular dan juga berkenaan langkah keselamatan apabila berhadapan dengan ular,
“Manakala bagi praktikal pula kita adakan latihan berkenaan teknik pengendalian dan juga mengenali sifat ular serta ujian snake confident. Snake confident ini adalah bertujuan untuk mengetahui cara berhadapan dengan ular dengan jarak yang selamat dan untuk kita baca ataupun faham pada waktu bila sesetengah ular tu bertindak agresif untuk menyerang mangsanya,” tambahnya lagi.
Dengan kemahiran yang dimiliki anggota pasukan ini, mereka telah mengendalikan kursus berkaitan ular dengan anggaran sebanyak 30 hingga 40 siri latihan dalam setahun. Latihan tersebut bukanlah yang dianjurkan oleh akademi bomba sahaja tetapi turut terlibat dengan agensi-agensi yang lain.
Antara yang turut menjalani kursus bersama Squad King Cobra adalah ketiga-tiga cabang pertahanan Angkatan Tentera Malaysia iaiitu anggota tentera dari servis darat, laut dan juga udara. Selain itu, kerjasama latihan pengendalian ular ini turut dijalinkan bersama tentera Amerika Syarikat (AS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei serta negara-negara lain.