KUCHING, 16 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki Sarawak dengan membawa barangan seludup melalui lorong tikus, semalam.
Markas 1 Divisyen (1 Div) dalam satu kenyataan berkata, cubaan kesemua PATI dikesan oleh sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan dalam Operasi Benteng (Op Benteng).
“Kejadian pertama, berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus sekitar Sektor Balai Ringin telah berjaya mengesan dan menahan 2 orang PATI yang sedang berjalan untuk masuk ke Sarawak.
“Setelah ditahan dan diperiksa, mereka berasal dari Indonesia,” kata kenyataan itu.
Manakala kejadian kedua pula berlaku di Sektor Lubuk Antu sekitar jam 1.30 petang, anggota yang sedang melaksanakan operasi telah menjumpai 3 beg penuh berisi pakaian harian ditinggalkan di tepi pokok kelapa sawit.
“Dipercayai ianya ditinggalkan sebelum melarikan diri. Pemantauan berterusan dijalankan dikawasan tersebut,” ujarnya.
Seterusnya kejadian ketiga pula berlaku sekitar jam 3.00 petang di Sektor Balai Ringin atas hasil maklumat perisikan yang diterima.
“Anggota telah berjaya menahan 3 orang yang mencurigakan dan disoal siasat, mereka adalah PATI yang dalam perjalanan menuju ke Pekan Serian,” jelasnya.
Kejadian keempat pula berlaku pada jam 5.30 petang di Sektor Tebedu, anggota ronda telah menjumpai 10 beg guni penuh berisi pakaian, alat solek, ubat-ubatan dan rempah ditinggalkan di belakang rumah kosong tersebut.
Menurut Mk 1 Div, pasukan rondaan telah menghalau kesemua PATI pulang ke negara asal dan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM17,552.50.
Dalam pada itu, pasukan keselamatan akan terus memantau dikawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi pencerobohan mahupun cubaan masuk secara haram ke Sarawak.
“TDM sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,” tegasnya. – airtimes.my