Home Pertahanan dan Keselamatan 56 petugas media sahut cabaran PASKAU, jadi tentera ‘24 jam’

56 petugas media sahut cabaran PASKAU, jadi tentera ‘24 jam’

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 30 OKT – Seramai 56 petugas media berpeluang menjalani latihan ‘24 jam sebagai tentera’ sempena Hari Bersama Media Kementerian Pertahanan 2024 (HBM) di Pangkalan Udara Jugra, Banting, Selangor.

Latihan selama dua hari anjuran Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Pasukan Khas TUDM (PASKAU) itu dilaksanakan bagi mengakrabkan lagi hubungan di antara kementerian itu dan pengamal media.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, meluahkan rasa kagum ke atas petugas media dan mengucapkan tahniah kerana berjaya mengharungi cabaran yang disediakan.

“Usaha bersama media oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) ini merupakan satu usaha yang kita lakukan kerana pertama kita percaya bahawa hubungan yang akrab dan rapat perlu wujud antara pihak media dengan pihak kementerian.

“Dan kita tahu keberkesanan kita melaksanakan tanggungjawab ini hanya boleh tercapai jika kita mendapat kerjasama dan sokongan semua peringkat rakyat yang terdapat dalam negara kita,” ujarnya ketika majlis penutup HBM 2024, pada Rabu.

Menurut MINDEF, program yang dilaksanakan bermula 28 Oktober itu antara untuk meraikan serta menghargai petugas media yang sentiasa menyokong MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memberikan liputan berterusan dalam mengekalkan imej positif MINDEF serta juga ATM.

“Kolaborasi serta kombinasi HBM kali ini turut membawa konsep Civil-Military Cooperation (CIMIC) iaitu Kerjasama Awam – Tentera dalam mengukuhkan lagi peranan dan kerjasama melalui gabungan media, ATM dan MINDEF,

“HBM Tahun 2024 kali ini memberi peluang terbaik kepada para pengamal media untuk lebih mengenali MINDEF, ATM, TUDM dan PASKAU khasnya memandangkan semua aktiviti dan cabaran yang dilaksanakan adalah latihan dan aktiviti yang dilakukan oleh anggota ATM di pasukan,” jelas kementerian itu.

Pengamal media mengikuti demonstrasi memasak rangsum tempur ATM. Foto: MINDEF

Sementara itu, wartawan TV3, Fareez Azman menjelaskan, menjalani kehidupan 24 jam sebagai tentera terutama PASKAU ini merupakan satu pengalaman yang baharu buat kami semua (media).

“Macam-macam cabaran tidak pernah media hadapi, bukan senang hendak jadi seorang tentera, terutamanya PASKAU,

“Naik turun Bukit Jugra, masak guna rangsum tempur, menembak. Ia merupakan satu pengalaman yang perlu diteruskan, supaya lebih banyak hubungan antara pihak tentera dengan pengamal media ini,

“Walaupun sedikit pengisian program, tapi bagi kami aktiviti ini sangat penat dan amat berbaloi. Dengan pengalaman yang diberikan, mengambarkan betapa hendak mempertahankan negara itu bukan mudah,” jelasnya kepada pemberita.

Air Times juga tidak ketinggalan untuk menghantar wakil bagi menyertai aktiviti ini iaitu Muhammad Izzat Adam dan Zulhaizi Rosdi.

Sepanjang HBM 2024, petugas media dibahagikan kepada 5 kumpulan dan diarahkan untuk menyelesaikan 5 cabaran yang diberikan.

Antara cabaran yang perlu diselesaikan ialah menembak menggunakan senjata M4, mendaki Bukit Jugra, memasak ransum tempur, merentas halangan, abseiling dan pertandingan menembak. -airtimes.my

#HBM #airtimes #pertahanan #media #PASKAU #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply