Home Semasa Projek 2 kapal OPV APMM yang tertangguh akan disambung semula

Projek 2 kapal OPV APMM yang tertangguh akan disambung semula

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menerima dua kapal pesisir pantai (OPV) yang tertangguh dalam masa kurang dua tahun lagi sekiranya apa yang dirancang dilaksanakan.

Mutakhir, pembinaan dua kapal tersebut bakal disambung sekali gus menyaksikan agensi itu melengkapkan pemilikan tiga buah OPV.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perancangan ke arah kerja-kerja menyiapkan kedua-dua kapal sedang dimuktamadkan.

Menurut beliau, ini bagi menyiapkan pembinaan kedua-dua kapal yang mana status OPV 2 sudah 76% siap manakala OPV 3 pula 57%.

Fasa seterusnya ialah mengenal pasti syarikat yang berkelayakan untuk dipertimbangkan bagi meneruskan projek berkenaan.

“Terdapat 12 buah limbungan kapal telah mengemukakan cadangan (RFI) untuk meneruskan pembinaan 2 buah OPV tersebut.

“Berdasarkan status kita menjangkakan OPV 2  boleh disiapkan dalam tempoh 12 bulan kerana pembina baharu hanya perlu menyambung dua blok utama kapal,” ujarnya ketika dihubungi.

Mohd Rosli bagaimana pun tidak memberikan tempoh spesifik bila pembinaan hendak dimulakan kerana keputusan akhir bakal diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ini termasuklah peruntukan yang bakal diberikan bagi menyiapkan pembinaan dua OPV berkenaan.

Jelas Mohd Rosli, dua OPV itu merupakan aset yang penting untuk dimiliki APMM di mana apabila dioperasikan ia dapat melonjakkan keupayaan sedia ada.

Sebelum ini, OPV pertama yang diberi nama KM Tun Fatimah diserahkan kepada KDN pada Januari lalu dan kini ditempatkan di Sarawak.

Imbas kembali, kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020.

la merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Kementerian Kewangan (MOF) kemudian terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada April lalu bahawa kementeriannya akan memutuskan mengenai hala tuju pembinaan kapal tersebut yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

KDN juga katanya, memerlukan suntikan RM200 juta untuk menyiapkan projek OPV 2 dan OPV 3 berdasarkan semakan semula peruntukan

bagi menyiapkan OPV 1.

Beliau juga memberitahu bahawa baki 2 OPV ini dijangka diterima APMM dalam tempoh kurang dua tahun.

Jika kerajaan bersetuju menyuntik lagi RM200 juta, bermakna kos keseluruhan projek OPV APMM ini akan berubah menjadi RM11 bilion. – airtimes.my

#Keselamatan #MaritimMalaysia #APMM #OPV

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!