Home Pertahanan dan Keselamatan Pharmaniaga, kelewatan LCS antara punca bayaran dividen LTAT rendah – PAC

Pharmaniaga, kelewatan LCS antara punca bayaran dividen LTAT rendah – PAC

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Isu yang membelenggu Pharmaniaga dan kelewatan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship) menjadi punca pembayaran dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) rendah serta tidak konsisten kepada pencarum.

Perkara tersebut dirumuskan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam satu laporan yang dikeluarkan pada hari ini.

“Portfolio pelaburan LTAT terlalu bergantung kepada prestasi Kumpulan Boustead,

“Kemerosotan dan pergelutan dengan krisis seperti LCS dan Pharmaniaga menyebabkan Boustead tidak dapat membayar dividen kepada LTAT seperti sebelum ini, mengakibatkan penetapan dividen tahunan yang rendah dan tidak konsisten kepada pencarum,” kata laporan itu.

Tambahnya, pelan transformasi LTAT dan penstrukturan semula Kumpulan Boustead menjadi isu utama yang perlu diambil tindakan segera.

Ini memandangkan kedua-dua perkara tersebut bukan sahaja melibatkan keupayaan LTAT dalam penetapan dividen malah meletakkan dana pelaburan LTAT dalam syarikat subsidiari berjumlah RM5 bilion, termasuk RM2.5 bilion dalam Kumpulan Boustead berada dalam risiko kecairan.

“Pelan Transformasi LTAT telah dimulakan bertujuan bagi menstrukturkan semula pegangan instrumen aset dan pelaburan LTAT,

“Bagi pegangan LTAT dalam Boustead Holdings Berhad (BHB), Project Moonshot telah dirangka untuk mempelbagaikan pendedahan kepada 6 syarikat strategik dengan pegangan saham barunya yang tersendiri,

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan Project Moonshot telah ditangguhkan pada tahun 2023,” jelas PAC.

Menurutnya, penangguhan projek tersebut telah ditangguhkan oleh Menteri Pertahanan bagi mendapatkan pilihan dan alternatif lain yang boleh diambil oleh LTAT berhubung isu tersebut.

“.Selain itu, Menteri Pertahanan juga telah menetapkan proses kelulusan perkara signifikan dan hala tuju berhubung LTAT memerlukan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Menteri Pertahanan sebelum diangkat bagi persetujuan Kabinet,” kata laporan itu.

PAC turut memetik kenyataan tiga pengurusan tinggi LTAT yang telah meletak jawatan sebelum ini yang menyifatkan penangguhan pelan tindakan yang sewajarnya berhubung pelaburan LTAT di dalam Kumpulan Boustead serta penstrukturan semula BHB dan anak syarikatnya boleh mengakibatkan keberhutangan Kumpulan Boustead serta LTAT meningkat disamping mengakibatkan risiko kecairan berlaku.

Dalam pada itu, PAC mengesyorkan LTAT seharusnya membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar (realised gain) dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada tahun 2021 dan 2022.

“LTAT seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum,” kata PAC

Selain itu, PAC menyatakan Kementerian Pertahanan dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan Hala Tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024.

PAC telah melaksanakan prosiding terhadap LTAT bagi mendapatkan penjelasan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menyatakan rizab tabung persaraan tentera itu berbaki negatif.

LKAN dalam laporan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang diterbitkan pada 4 Mac 2024 lalu menyatakan rizab LTAT berbaki negatif untuk 3 tahun berturut-turut sejak 2020 hingga 2022. – airtimes.my

#AirTimes #LTAT #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!