Home Pertahanan dan Keselamatan OSTEX EAST 2024 perkuat kesiagaan Armada Timur TLDM hadapi sebarang ancaman

OSTEX EAST 2024 perkuat kesiagaan Armada Timur TLDM hadapi sebarang ancaman

by Zulhaizi Rosdi

KOTA KINABALU, 19 NOV – Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 2/2024 yang berakhir pada semalam dijadikan platform bagi menguji kecekapan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kesiagaan aset-aset di Armada Timur

TLDM melalui Markas Pemerintahan Armada Timur berkata, siri eksesais kali ini dilaksanakan dengan misi menyediakan armada yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim.

“Eksesais ini juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran warga dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan.

“Kehadiran aset-aset TLDM turut diperagakan di Zon Maritim Malaysia di samping mewujudkan, mengurus serta mengaplikasikan komunikasi taktikal dalam melaksanakan operasi maritim,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya lagi, antara siri latihan utama yang telah dilaksanakan merangkumi siri manuvra taktis, penembakan Naval Gunfire Support (NGFS), penembakan sasaran permukaan statik, Air Defence Exercise (ADEX), Anti Submarine Warfare Exercise (ASWX) dan lain-lain latihan lagi.

“Fasa Laut yang juga menjadi medan latihan sebenar bagi menguji anggota turut melibatkan 8 buah kapal TLDM terlibat iaitu KD KELANTAN, KD KEDAH, KD SELANGOR, KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK, KD SERANG, KD TODAK dan sebuah kapal selam iaitu KD TUN RAZAK.

“Kapal-kapal ini telah berlayar merentasi perairan Laut China Selatan menuju ke perairan Gugusan Semarang Peninjau (GSP),” ujarnya.

Selain itu, sesi latihan yang bermula sejak 11 November ini turut melibatkan aset TUDM iaitu pesawat HAWK, pesawat EC 725 dan pesawat CN 235 yang akan meningkatkan lagi tahap kesiagaan antara kedua-dua perkhidmatan dalam menangani konflik maritim secara operasi bersama.

Dalam pada itu, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy berkata, melalui platform latihan sebegini, TLDM dapat memastikan momentum latihan bagi Armada Timur terus kekal dan sentiasa di tahap terbaik

“Ia juga dapat menyediakan armada yang mampu bersedia dalam menangani pelbagai situasi ancaman melibatkan kedaulatan perairan maritim selain turut menyediakan warga dalam menghadapi eksesais terbesar TLDM iaitu Eksesais KERISMAS pada tahun depan.

“Eksesais OSTEX EAST akan sentiasa dilaksanakan seiring peranan TLDM ketika aman iaitu menyediakan angkatan yang kompeten dan siaga selain turut memupuk semangat warga The Navy People yang sentiasa ikhlas berjuang melindungi kedaulatan dan keselamatan maritim Malaysia,” katanya. -aitimes.my

#TLDM #latihan #OSTEXEAST #ArmadaTimur #Malaysia #Airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!