Home Semasa Lebih RM85 juta Bantuan Sara Hidup Veteran diluluskan

Lebih RM85 juta Bantuan Sara Hidup Veteran diluluskan

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Seramai 30,606 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sama ada berpencen atau tidak, telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM85.19 juta sehingga September lepas. 

Inisiatif ini menyasarkan golongan veteran yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dengan pendapatan bulanan RM1,198 atau kurang.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelanjutan bantuan ini secara automatik kepada veteran tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas dengan pemberian RM300 sebulan. 

Langkah ini bertujuan memastikan veteran ATM tidak ketinggalan dalam menikmati hasil pembangunan negara, seiring dengan Dasar Kerajaan Madani.

“Kita juga akan mempertimbangkan pemberian BSH kepada veteran berpencen sebelum 1 Januari 2013, sekiranya pendapatan mereka berada di bawah PGK,” jelas beliau dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly turut menekankan kepentingan penggunaan sistem VIBEs 2.0 oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk memastikan maklumat setiap veteran dikemaskini. 

Sistem ini menjadi tunjang utama dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan, selain mendorong tanggungjawab ahli keluarga serta pihak berkepentingan dalam memperbaharui maklumat veteran. – Airtimes.

#Veteren #BantuanSaraHidup #ATM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!