Home Teknologi Pertahanan Kurang dari setahun selepas meterai kontrak, Airbus serah H145M pertama kepada Jerman

Kurang dari setahun selepas meterai kontrak, Airbus serah H145M pertama kepada Jerman

by M.Daim

DONAUWÖRTH, 19 Nov – Airbus Helicopters telah menyerahkan helikopter H145M pertama kepada Angkatan Tentera Jerman (Bundeswehr) di Donauwörth, Jerman, kurang setahun selepas kontrak ditandatangani.

Dikenali sebagai “Leichter Kampfhubschrauber, LKH” (helikopter tempur ringan), pesawat ini digunakan untuk misi latihan, peninjauan, operasi pasukan khas, dan serangan ringan.

Menurut Airbus, helikopter H145M pertama ini digunakan untuk operasi latihan di pangkalan tentera Jerman di Bückeburg.

Bundeswehr sebelum ini menandatangani kontrak perolehan 82 H145M dengan Airbus pada Disember 2023 lalu. Melalui kontrak tersebut, tentera Jerman memesan 62 buah H145M dengan opsyen tambahan 20 buah.

Daripada jumlah tersebut, Tentera Darat Jerman akan menerima 57 helikopter, manakala pasukan khas Luftwaffe akan menerima 5 buah H145M.

Kontrak itu merangkumi merangkumi 7 tahun khidmat sokongan dan penyelenggaran untuk memastikan kesiagaan operasi yang optimum.

Perolehan ini sekaligus menjadikan ia sebagai pembelian H145M terbesar untuk Airbus.

Menurut Pengarah Urusan Airbus Helicopters di Jerman, Stefan Thomé, penyerahan H145M LKH dalam masa kurang dari setahun menunjukkan komitmen Airbus.

“Kami kekal sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk Bundeswehr Jerman. H145M LKH akan menjadi aset pelbagai misi yang penting untuk Angkatan Tentera Jerman,” katanya.

H145M merupakan  helikopter pelbagai peranan yang dihasilkan oleh Airbus. Pesawat ini boleh diubah suai dalam masa singkat meliputi konfigurasi serangan ringan kepada operasi khas.

Menurut Airbus, model ini dilengkapi sistem pengurusan senjata HForce yang dibangunkan oleh Airbus Helicopters. Ini sekaligus membolehkan Bundeswehr melatih juruterbang menggunakan platform seragam untuk operasi dan pertempuran.

Pada ketika ini, Bundeswehr mengoperasikan 24 helikopter H145 untuk misi khas dan penyelamatan.

Helikopter model ini turut dioperasikan di Amerika Syarikat, Hungary, Serbia, dan Thailand. – airtimes.my

#AirTimes #h145M #Airbus

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!