IPOH, 18 NOV – Kecekapan menembak tempur anggota 69 Komando teruji apabila muncul juara keseluruhan pada Ujian Kemahiran Tembak Tempur Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) 2024.
Acara berprestij tersebut telah berlangsung mulai 11 hingga 14 November di Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando Ulu Kinta di sini.
Ia membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Tambah hebat apabila 272 peserta ini termasuk tiga pasukan jemputan iaitu Pusat Latihan Polis Gerakan Am (PLPGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)
69 Komando merangkul kemenangan bagi kategori Tembak Tempur Berpasukan, Tembak Jatuh Piring (Berpasukan) manakala dua anggotanya menduduki juara dan naib juara Tembak Tempur Individu.
Turut mempamerkan kehebatan ialah Batalion 17 PGA Briged Sabah apabila mendapat tempat ketiga Tembak Tempur (Berpasukan) dan kedua Tembak Jatuh Piring (Berpasukan).
Batalion 3 PGA Senoi Praaq dan Batalion 20 PGA Briged Sabah pula masing-masing tempat ketiga dan keempat Tembak Jatuh Piring (Berpasukan).
Ujian kemahiran tembak tempur bertujuan menguji dan meningkatkan kemahiran pengendalian senjata api jenis raifal dalam kalangan pegawai dan anggota polis.
Melalui ujian ini, para peserta dapat mengasah kemahiran dalam situasi yang lebih realistik, bukan sahaja melibatkan tembak statik tetapi juga latihan dalam situasi dinamik.
Cabaran kemahiran ini menuntut ketepatan dan kecekapan tinggi.
Terdapat dua acara yang dipertandingkan iaitu Tembak Tempur (Individu/Berpasukan) dan Tembak Jatuh Piring (Berpasukan).
Acara ini amat menekankan kepentingan kerjasama dalam pasukan serta kecekapan individu dalam mengendalikan senjata api.
Konsep tembak stage IPSC menjadi panduan bagi acara tembak tempur dan stage yang direka sangat relevan menyerupai situasi sebenar di medan operasi.
Terdahulu, majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan KDNKA. DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGK dan WCB iaitu SAC Anuar Rosdi dan SAC Mohd Azlin Sadari serta Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim. – airtimes.my