ANKARA, 18 NOV – Syarikat teknologi terkemuka Turkiye, CTech Information Technologies Industry and Trade Inc. (CTech) telah dianugerahkan kontrak oleh Agensi Komunikasi dan Informasi NATO (NCIA) untuk membangunkan sistem Pengurusan Perancangan Misi Elektronik (EPMS) generasi baharu.
Sistem baharu ini akan menggantikan versi sebelumnya bagi memastikan kesinambungan operasi komunikasi satelit NATO tanpa sebarang gangguan.
Pengurus Besar CTech, Dr. Cüneyd Fırat, menjelaskan bahawa SecureARX yang ditawarkan oleh pihak syarikatnya direka khusus untuk menyediakan komunikasi satelit yang selamat dan tahan gangguan.
“SecureARX ialah sistem komunikasi satelit yang selamat dan tahan gangguan elektronik,
“Ia direka untuk kegunaan tetap dan mudah alih pada platform darat, laut, serta udara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CTech.
Menurut beliau, sistem ini menawarkan komunikasi yang tahan lasak, fleksibel, dan boleh dipasang serta dikendalikan dengan mudah walaupun dalam keadaan ekstrem,.
Dr Fırat menambah, penganugerahan kontrak ini mencerminkan pencapaian CTech sebagai peneraju dalam komunikasi selamat dan tahan gangguan, khususnya untuk aplikasi tentera dan kerajaan.
“Sistem ini juga direka untuk berfungsi dengan cekap walaupun dalam keadaan yang mencabar,
“Kami telah bekerja keras dan mempersiapkan diri untuk bersaing dalam persekitaran yang sangat mencabar ini,” jelasnya.
Beliau menyifatkan penganugerahan kontrak ini adalah bukti tahap keupayaan Turkiye dalam teknologi komunikasi satelit.
Dr Fırat turut menjelaskan kejayaan CTech dalam membida kontrak NCIA yang merupakan pusat teknologi dan siber NATO, menjadi bukti kukuh terhadap kemampuan CTech untuk menembusi pasaran global.
CTech merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian berteknologi tinggi untuk pelbagai platform maritim, darat, udara, dan angkasa.
Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2005 dan kemudiannya menjadi anak syarikat kepada Turkish Aerospace Industries Inc. (TUSAŞ) pada 2018.
CTech mempunyai kepakaran dalam sistem komunikasi, avionik, keselamatan siber, serta simulasi berasaskan model. – airtimes.my
#AirTimes #Turkiye #Ctech #TUSAS