Home Semasa PT Dirgantara Indonesia teroka potensi kerjasama industri aeroangkasa dengan Embraer

PT Dirgantara Indonesia teroka potensi kerjasama industri aeroangkasa dengan Embraer

by M.Daim

RIO DE JANEIRO, 18 NOV –  Syarikat aeroangkasa utama Indonesia, PT Dirgantara Indonesia (PTDI) bakal memperluaskan keupayaan mereka dalam industri aeroangkasa.

Terbaharu, syarikat terkemuka dari Indonesia itu telah meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam penerbangan komersil dengan Embraer.

Menurut Embraer dalam satu kenyataan, kedua-dua syarikat akan menjalankan kajian bersama untuk menilai peluang kerjasama dalam penerbangan komersial, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan pembekalan struktur aeroangkasa.

“Rangka kerja kerjasama ini akan berpandukan piawaian komersial dan teknikal yang ketat, selaras dengan amalan terbaik industri dan objektif perniagaan,” kata kenyataan pada Ahad.

MoU itu dimeterai semasa Forum CEO Indonesia-Brazil yang dipengerusikan oleh  Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bersempena Sidang Kemuncak G20 di Brazil.

PTDI dan Embraer meterai MoU bagi teroka kerjasama dalam bidang aeroangkasa. Foto: Embraer

“Sebagai pengeluar aeroangkasa utama Indonesia, PTDI mempunyai aspirasi besar untuk negara ini (Indonesia),

“Kami teruja untuk memanfaatkan kepakaran Embraer yang telah terbukti selama 55 tahun dalam sektor penerbangan komersil,” kata Presiden Pengarah PTDI, Gita Amperiawan.

Indonesia merupakan antara negara pelanggan Embraer di mana angkatan udara negara kepulauan republik itu mengoperasikan A-29 Super Tucano.

Selain itu, pesawat komersil keluaran Brazil itu turut dioperasikan oleh sejumlah syarikat penerbangan Indonesia. Pada masa yang sama, Embraer turut melantik PT Wira Jasa Angkasa (WJA) sebagai pusat perkhidmatan Embraer Executive Jets.

Bagi Embraer, perjanjian ini merupakan langkah yang penting alam mengukuhkan hubungan aeroangkasa antara Brazil dan Indonesia, serta memupuk inovasi teknologi dan perkongsian industri dalam kalangan ekonomi baru muncul.

“Indonesia adalah salah satu pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang di dunia,

“Kami melihat peluang untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak bagi meningkatkan keupayaan aeroangkasa Indonesia dan memperluaskan rangkaian penerbangannya,” kata Rodrigo Silva e Souza, Naib Presiden Pemasaran Embraer Commercial Aviation. – airtimes.my

#PTDI #Embraer #Indonesia #Brazil

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!