SUBANG, 18 NOV – Penghantaran kumpulan keempat Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 hari ini, melengkapkan jumlah keseluruhan kontinjen yang ditugaskan bagi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kumpulan akhir ini terdiri daripada 7 pegawai dan 201 anggota sekaligus melengkapkan proses penghantaran MALBATT 850-12 bagi menggantikan MALBATT 850-11.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, di Pangkalan Udara Subang, pada Isnin.
Mengulas lanjut, dalam ucapannya, Adly menegaskan, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar susulan konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober 2023 yang lalu.
“Sehingga kini, konflik ini dilihat semakin tegang dan meluas di antara kedua-dua belah pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.
“Konflik bergolak ini secara tidak langsung memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan lubnan dan ianya dapat menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT sekiranya konflik ini berpanjangan,” ujarnya.
Walaupun begitu, misi MALBATT ini menandakan kesinambungan komitmen Malaysia dalam menyokong keamanan global di bawah naungan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).
Kumpulan akhir MALBATT 850-12 yang berlepas ke Lubnan hari ini, diketuai oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin menaiki pesawat BATIK AIR pada jam 5.33 petang.
Terdahulu, kontinjen MALBATT 850-12 dihantar melalui empat fasa bermula 6 hingga 18 November bagi menggantikan MALBATT 850-11, yang tamat tempoh perkhidmatan selama satu tahun di Lubnan.-Airtimes.
#Airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia #ATM