Jika ada peristiwa hitam yang terus dikenang dalam sejarah tanah air, insiden pencerobohan Lahad Datu pastinya menjadi salah satu daripadanya.
Tragedi berdarah yang berlaku di bumi Sabah sebelas tahun lalu itu, meninggalkan luka yang masih terasa hingga ke hari ini.
Pada Februari hingga Mac 2013, Kampung Tanduo menjadi saksi kepada pertempuran sengit yang meragut nyawa 10 perwira tanah air sebelum konflik berkenaan diisytihar tamat pada 10 April.
Di sebalik kehilangan itu juga, 68 pengganas Sulu bersenjata yang menyerang berjaya ditewaskan. Manakala seramai 416 individu lain ditahan dengan sebahagiannya disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Mengulas lanjut, apakah sebenarnya yang mendorong pencerobohan ini? Semua ini berakar daripada sejarah Kesultanan Sulu yang mendakwa Sabah sebagai wilayah mereka sejak abad ke-19.
Dakwaan ini berpunca daripada perjanjian 1878 antara Kesultanan Sulu dan pihak British. Tafsiran dokumen tersebut terus menjadi pertikaian: adakah ia hanya pajakan sementara atau sebenarnya penyerahan sepenuhnya kepada British yang dinafikan.
Keadaan ini berterusan sehinggalah pada tahun 1963, Sabah akhirnya membuat keputusan penting melalui pungutan suara atau referendum untuk menyertai Persekutuan Malaysia.
Tindakan ini mengesahkan kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia berdasarkan prinsip nyahpenjajahan atau dekolonisasi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, dakwaan waris Kesultanan Sulu dan Filipina terhadap Sabah tidak pernah surut. Mereka terus berpegang kepada hubungan sejarah dan membawa perkara berkenaan ke tribunal timbang tara antarabangsa.
Lebih membingungkan, waris Sulu bukan sahaja menuntut Sabah tetapi turut membuat tuntutan pampasan yang tidak masuk akal dengan mendakwa Malaysia “berhutang” kepada mereka sehingga USD 14.92 bilion iaitu bersamaan RM62.59 bilion.
Malaysia, bagaimanapun, tidak pernah tunduk kepada tekanan tersebut malah menegaskan bahawa perjanjian tersebut telah terbatal sejak Sabah menyertai Malaysia.
Akhirnya, pada tahun 2024, Mahkamah Agung Perancis memuktamadkan perkara ini dengan menolak sepenuhnya tuntutan waris Sulu sekali gus membuktikan Sabah negara berdaulat.
Keputusan ini menjadi satu kemenangan besar bagi Malaysia. Ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai sebahagian sah negara kita malah menutup sebarang ruang untuk tuntutan lanjut.
Sabah kekal milik Malaysia, selamanya. Tragedi Lahad Datu menjadi peringatan tentang harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan kedaulatan. -Airtimes.
#Malaysia #Sulu #LahadDatu #Pencerobohan