Home Semasa Kolumnis: Sewa beli pesawat kaedah segera lonjak keupayaan, bukannya sesuatu yang ganjil

Kolumnis: Sewa beli pesawat kaedah segera lonjak keupayaan, bukannya sesuatu yang ganjil

by Zaki Salleh

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan program sewa beli 28 buah helikopter bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain masih menjadi perdebatan.

Memandangkan jumlah helikopter berkenaan banyak manakala kos yang bakal dibelanjakan sebanyak RM16.5 bilion, maka perkara ini menarik perhatian umum.

Sebelum perkara ini diputuskan, Kementerian Pertahanan terlebih dahulu mengumumkan hasrat ATM menyewa 12 buah helikopter Leonardo AW 149 untuk TUDM.

Bagaimana pun, hanya setelah perolehan sewa 28 buah helikopter diperincikan barulah kita tahu berapa jumlah sebenar yang akan diterima kepada setiap pasukan keselamatan.

Walaupun ini bukan kali pertama kerajaan menyewa atau memajak aset udara bagi pasukan keselamatan, namun sewaan dalam jumlah besar belum pernah dibuat.

TLDM melakar sejarah sebagai agensi kerajaan pertama melaksanakan ‘Performance Based Contract’ (PBC).

PBC tersebut adalah Kontrak Perkhidmatan Sewaan Helikopter Squirrel untuk TLDM selama 3 tahun mulai 2001 sehingga 2003 sementara menunggu helikopter Fennec.

Kaedah ini membolehkan juruterbang dan kru TLDM mengoperasikan aset udara berteknologi baharu pada masa itu sebelum pesawat sebenar tiba.

Sebanyak 4 buah helikopter Leonardo AW139 dioperasikan oleh TUDM melalui konsep GOCOM semenjak tahun 2022.

Pada tahun 2022 pula, kerajaan menyewa empat buah helikopter Leonardo AW 139 untuk TUDM bagi mengisi kekosongan perkhidmatan helikopter Nuri yang ditamatkan.

Ini juga bagi menampung penugasan 12 buah helikopter EC725AP yang sedang berkhidmat.

Jika ada yang beranggapan kerajaan Malaysia melakukan tindakan luar daripada kebiasaan kerana menyewa aset udara, kaedah sama sebenarnya turut dilakukan oleh tentera di Eropah.

Perkara ini dibuat atas keperluan yang berbeza-beza mengikut pengguna.

Tentera Udara Diraja Britain (RAF) misalnya memajak empat pesawat C-17 Globemaster III dengan harga kira-kira £771 juta daripada Boeing pada tahun 2001.

Pesawat C-17 memenuhi keperluan RAF untuk keupayaan pengangkutan udara strategik sementara menunggu pesawat pengangkut Airbus A400 ketika itu.

Ini kerana kerajaan Britain merasakan keupayaan pengangkutan udara strategik diperlukan segera.

Pajakan selama tujuh tahun itu dengan pilihan untuk membeli atau melanjutkan sewaan pada penghujung tempoh kontrak.

Pesawat pengangkut C-17 pernah disewa pajak oleh RAF.

RAF kemudian memilih untuk membeli pesawat yang dipajak ini pada Ogos 2006 bersama-sama dengan kontrak perolehan pesawat C-17 baharu kelima yang diterima pada April 2008.

Seterusnya, pesawat C-17 keenam telah dibeli pada Disember 2007 pada harga £130 juta dan diperoleh kira-kira setahun kemudian.

Jumlah pesawat C-17 RAF terus bertambah apabila dua lagi pembelian dilakukan pada 2010 dan 2012.

Ini bermakna dalam tempoh 12 tahun RAF telah mempunyai lapan buah pesawat C-17 yang pembeliannya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap kemampuan kewangan negara.

Langkah serupa dilakukan Hungary yang memajak secara sewa beli pesawat tempur Gripen dari Sweden.

Tentera Udara Hungary memajak 14 pesawat bekas Tentera Udara Sweden, iaitu 12 Gripen C dan dua Gripen D (versi dua tempat duduk).

Tentera Udara Hungary pernah melakukan sewa beli 14 buah jet pejuang Gripen dari Sweden.

Perjanjian pajakan telah ditandatangani pada Februari 2003 menjadikan Hungary negara anggota NATO pertama mengendalikan Gripen apabila lima pesawat pertama diterima pada Mac 2006.

Penghantaran terakhir adalah pada Disember 2007.

Pada 2012, kerajaan Hungary telah melanjutkan pajakan 14 pesawat Gripen selama 10 tahun lagi iaitu sehingga 2026.

Selepas tahun 2026, kesemua pesawat Gripen ini menjadi milik Hungary.

Dikatakan keputusan itu akan menjimatkan perbelanjaan pertahanan sebanyak AS$270 juta kepada Hungary.

Menurut Budapest Business Journal pada 26 Januari 2012, pajakan Gripen menelan belanja AS$130 juta setahun manakala AS$8.7 juta lagi untuk kos latihan.

Selari dengan kontrak pajakan, Gripen International turut memberi sokongan industri kepada Hungary.

Syarikat pengeluar Gripen, SAAB pernah tawarkan pakej sewa beli kepada kerjaaan Malaysia pada satu ketika dahulu.

Penggunaan pesawat Gripen sewaan ini memasuki fasa lain apabila pada Februari lalu Hungary memeterai perjanjian membeli empat pesawat Gripen baharu dari Sweden.

Di bawah perjanjian itu, Sweden juga akan menyediakan sokongan dan logistik untuk pesawat-pesawat ini dari tahun 2026 hingga 2036.

Tawaran sewaan pesawat Gripen juga dikatakan pernah dibuat Sweden kepada Malaysia semasa persaingan bagi mendapatkan kontrak MRCA TUDM dahulu.

Sweden dipercayai menawarkan pakej yang sama sepertimana diterima Hungary tetapi lebih istimewa apabila ditawarkan bersama pesawat radar amaran awal Saab 340 Erieye. – airtimes.my

#AirTimes #Kolumnis #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!