KUALA LUMPUR, 16 NOV – Kerajaan Malaysia kini dalam proses membantah keputusan Filipina yang menggubal dua undang-undang maritim, iaitu Akta Laluan Laut Kepulauan dan Akta Zon Maritim Filipina.
Undang-undang ini dianggap mencabar kedaulatan Sabah, yang dimasukkan di dalam peta wilayah maritim negara berkenaan.
Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Mohamad Alamin berkata, dokumen ini disahkan telah melanggar sempadan laut Malaysia berdasarkan Peta Baharu Malaysia yang diiktiraf undang-undang antarabangsa sejak 1979.
Dalam pada itu, beliau berkata, dokumen rujukan akta yang ditandatangani oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 November lepas turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.
“Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita.
“Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini (14 November) juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan,” katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Alamin menjamin apa yang dilakukan oleh Filipina itu tidak akan diluluskan oleh Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Ujarnya, nota bantahan ini adalah tindakan awal bagi menunjukkan tahap ketegasan dan tidak mengiktiraf sebarang tindakan yang dilaksanakan Filipina.
Untuk rekod, sebelum ini, Filipina beberapa kali mendasarkan tuntutan terhadap Sabah pada sejarah hubungan dengan Kesultanan Sulu.
Pada abad ke-19, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (British North Borneo Chartered Company) melalui satu perjanjian pajakan.
Walaupun Malaysia menganggap Sabah telah sah menjadi sebahagian wilayahnya sejak 1963, Filipina terus mempertikaikan penggabungan dan mendakwa hak atas atas Sabah belum dipindahkan secara sah. -Airtimes.
#Airtimes #Sabah #Philippine #Malaysia #SempadanNegara