KUALA LUMPUR, 15 Nov – Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan orang, penyeludupan dadah dan jenayah siber.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, MoU Mengenai Kerjasama Dalam Mencegah dan Menangani Jenayah Rentas Sempadan itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K Shanmugam di Singapura, pada Khamis.
Saifuddin dilaporkan berkata, MoU itu membaharui kerjasama rentas sempadan sedia ada antara kedua-dua negara, dengan menambah elemen jenayah siber, sesuai dengan trend semasa.
Menurut KDN, ketika pertemuan, kedua-dua menteri itu turut membincangkan kepentingan kerjasama keselamatan dua hala yang menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pengurusan jenayah rentas sempadan serta bidang keimigresenan dan kepolisan.
Sementara itu, Saifuddin Nasution bersama delegasi Malaysia turut menerima taklimat daripada Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura serta mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur,” menurut KDN dalam kenyataan.
Selain itu, Saifuddin turut membuat lawatan ke Anti-Scam Centre (ASC) Singapura dan INTERPOL Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian.
Terdahulu, beliau tiba di Singapura pada 13 November 2024 dan telah meluangkan masa bersama diaspora Malaysia dalam satu sesi ramah mesra dan makan malam.
Turut bersama di dalam lawatan iu adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Makhzan Mahyuddin. -airtimes.my
#Malaysia #Singapura #KDN #airtimes #semasa