WASHINGTON, 14 NOV – Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Selasa telah menahan seorang lelaki yang didakwa membocorkan maklumat risikan Amerika Syarikat (AS) mengenai rancangan Israel untuk bertindak balas terhadap Iran.
The New York Times melaporkan, Asif William Rahman yang bekerja di bawah Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah ditangkap di Kemboja dan akan dibicarakan di Guam.
Asif akan didakwa di bawah Akta Pengintipan kerana mendedahkan maklumat pertahanan negara.
Menurut pertuduhan itu, Rahman “secara sengaja menyimpan” dokumen sulit dan menghantarnya kepada individu yang tidak berhak menerima maklumat tersebut.
Dokumen yang dibocorkan Rahman berhubung strategi serangan balas Israel terhadap Iran itu telah tersebar secara meluas sehingga diketahui oleh kumpulan pro Iran terutama di Telegram.
Terdahulu, kebocoran beberapa dokumen Pentagon yang memperincikan persiapan Israel untuk serangan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Teheran pada 1 Oktober lalu, telah menimbulkan keresahan di AS dan Israel.
Dokumen rahsia itu mula diedarkan dalam talian dan disiarkan di Telegram pro-Iran, “Middle East Spectator,” yang mendakwa ia dihantar oleh sumber di Pentagon.
Ia ditandakan sebagai rahsia besar dan mempunyai tanda yang menunjukkan ia untuk dilihat oleh AS dan sekutu “Five Eyes” – Australia, Kanada, New Zealand dan United Kingdom.
Dokumen-dokumen itu menggambarkan persiapan Israel untuk menyerang Iran.
Salah satu dokumen, yang mengatakan ia disusun oleh Agensi Perisikan Geospatial Kebangsaan mengatakan rancangan itu melibatkan memindahkan peluru Israel. -airtimes.my
#FBI #CIA #kebocorandokumen #Iran #Airtimes