KUALA LUMPUR, 13 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menggunakan sistem C4ISR, yang merangkumi Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan, dan Peninjauan bermula tahun hadapan sempena ulang tahun dua dekad penubuhan agensi itu.
Ketua Pengarahnya Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penggunaan sistem C4ISR itu sekali gus melengkapkan keperluan operasi APMM yang ditubuhkan pada 21 Mac 2006.
Menurutnya, sistem C4ISR penting bagi memastikan Pusat Operasi Maritim (POMAR) dapat berfungsi dengan efektif dan lancar.
“Ini terutamanya di kawasan ‘hotspot’ sempadan perairan negara selain mengkoordinasi operasi carilamat (mencari dan menyelamat) di perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, melalui penggunaan C4ISR, APMM dapat menyelaraskan operasi dengan pantas dan tepat, sekali gus membolehkan pegawai dan anggota yang berada di lapangan bertindak dengan lebih cekap terhadap sebarang situasi.
“C4ISR mempunyai 3 sistem utama iaitu MCGMDA (Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness), merupakan integrasi Maritim Malaysia bersama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Jabatan laut Malaysia (JLM) dimana pemantauan kapal-kapal yang mempunyai sistem Automatic Identification System (AIS),
“MCGVTMS (Malaysia Coast Guard Vesel Tracking and Monitoring System) pula merupakan sistem bagi memantau aset-aset Maritim Malaysia dengan menggunakan Secured Automatic Identification System bagi memastikan lokasi aset Maritim Malaysia ini tidak boleh dikesan menggunakan radar. Manakala MCGIIS (Malaysia Coast Guard Intelligence Information System) merupakan sistem bagi menganalisis data dan maklumat berkenaan jenayah rentas sempadan, hotspot dan ancaman maritim,” tambah beliau.
Mohd Rosli berkata, C4ISR dijangka beroperasi sepenuhnya pada Februari 2025 dengan melibatkan integrasi sistem milik APMM di Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, stesen Udara Maritim Subang serta agensi keselamatan yang telah menggunakan sistem sama seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). -airtimes.my
#APMM #keselamatan #maritim #Malaysia #airtimes