Home Pertahanan dan Keselamatan “Saya hanya mampu bertawakal”: Isteri kongsi perasaan bimbang ketika suami berbakti di Lubnan

“Saya hanya mampu bertawakal”: Isteri kongsi perasaan bimbang ketika suami berbakti di Lubnan

by Suraya Aziz

Siapa sangka, panggilan telefon menjadi satu-satunya penghubung harapan buat Nurizat Samsury, isteri kepada Pegawai Staf 1 MALBATT 850-11, Komander Errudin Bujang TLDM, yang ketika itu bertugas di Lubnan.

Selama setahun 3 bulan, Nurizat menggalas tanggungjawab besar di tanah air, menjaga serta membesarkan keenam-enam cahaya mata mereka di rumah ibunya.

Menurut suri rumah ini, kepulangan suaminya selepas tamat tempoh berkhidmat sebagai anggota pengaman di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan bergolak adalah penantian yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira. Selama ni kita rasa risau je dia kat sana, dengan suasana macam tu. Sekarang dah depan mata, rasa syukur sangat,” luahnya sambil mengenang setiap detik berjauhan.

Komander Errudin Bujang TLDM dan isteri, Nurizat Samsury bersama dua daripada enam orang anaknya. (Foto: Pasri)

Bagi Nurizat, setiap kali mendengar, membaca atau melihat berita pergolakan di Lubnan, beliau tidak boleh berpikir dengan baik selain menyerahkan semuanya kepada-Nya.

“Dah tak boleh fikir dah. Saya dah habis fikir, tawakal je masa tu,” katanya kepada AirTimes.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menyambut Kepulangan Pasukan MALBATT 850-11 dari Lubnan, di Lapangan Terbang Udara Subang, pada Ahad.

Kumpulan pertama yang diketuai Komander Errudin telah mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 10.10 pagi dengan menaiki pesawat BATIK Air.

Erudin berkata, penugasan selama 15 bulan di Lubnan sebagai anggota pengaman di bawah mandat PBB cukup mencabar susulan ketegangan di negara bergolak sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, ujarnya, keadaan di sana masih lagi terkawal dan selamat buat semua anggota MALBATT yang bertugas di kawasan operasi.

“Sepanjang tahun rutin kami berjalan seperti biasa. Namun ada kalanya apabila keadaan mendesak dan tegang, memaksa kami berada dalam Bunker untuk mengelakkan dari kejadian yang tidak diingini,” ujarnya lagi.

Erudin Bujang bersyukur kerana berjaya menamatkan misi sebagai pengaman di bawah PBB dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. (Foto: Pasri)

Selain itu, Erudin turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang kembali ke pangkuan keluarganya di Malaysia. Beliau berharap MALBATT 850-12 yang bakal mengambil alih penugasan di Lubnan juga dapat menyambung amanah tersebut dengan jayanya.

Situasi bergolak di bumi Lubnan sudah tentu menimbulkan keresahan umum terutamanya kepada ahli keluarga anggota pengaman MALBATT 850. Penyertaan MALBATT merupakan penglibatan Malaysia dan Brunei dalam misi pengaman UNIFIL.

Israel sebelum ini mengarahkan kesemua pengaman UNIFIL untuk berundur dari Selatan Lubnan. Namun begitu, kesemua 50 negara peserta UNIFIL, termasuk Malaysia telah berikrar untuk terus mendukung peranan mereka sebagai pengaman, selari dengan resolusi yang digubal oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) -airtimes.my

#Airtimes #Pertahanan #Lubnan #ATM #Malbatt

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!