Home Pertahanan dan Keselamatan Pesawat AS isi bahan api jet pejuang buatan Rusia di ruang udara Malaysia

Pesawat AS isi bahan api jet pejuang buatan Rusia di ruang udara Malaysia

by M.Daim

Melihat kepada perkembangan geopolitik semasa, nama Amerika Syarikat dan Rusia boleh diibaratkan umpama air dan minyak. Perbezaan di antara kedua seteru tradisi semenjak era Perang Dingin itu memberikan kesan yang banyak sehinggalah kepada aspek teknikal aset serta peralatan persenjataan.

Namun begitu, perbezaan ini tidak menghalang kepada latihan bersama di antara Washington Air National Guard (WA ANG) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Terbaharu, pesawat KC-135 Stratotanker yang dioperasikan oleh 141st Air Refueling Wing telah melaksanakan pengisian bahan api di udara terhadap jet pejuang Sukhoi SU-30MKM.

KC-135 Stratotanker  dan SU-30MKM bukan sekadar 2 jenis pesawat yang berbeza peranan tetapi turut dari blok berlainan. Pesawat dari blok Amerika Syarikat dan Rusia sudah tentu mempunyai pelbagai perbezaan.

Sukhoi SU-30MKM merupakan jet pejuang buatan Rusia yang menjadi taring keupayaan kekuatan angkatan udara tanah air.

Menurut pihak 141st Air Refueling, pengisian bahan api dari KC-135 ke 3 buah SU-30MKM berjaya dilakukan dengan menggunakan sistem probe and drogue.

“Sistem ini lazim digunakan pada pelbagai pesawat sekutu,” katanya.

Pengisian ini berjaya dilakukan kerana pesawat KC-135 Stratotanker mempunyai multi-point refueling systems, MPRS (sistem pengisian api berbilang saluran).

KC-135 Stratotanker sebelum ini direka untuk memiliki satu sistem pengisian minyak iaitu melalui kaedah flying boom. Kaedah ini membolehkan pengisian bahan api dengan pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan beberapa jenis pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

MPRS merupakan modifikasi pada pesawat ini yang melibatkan pemasangan pod khusus di bahagian sisi sayap KC-135. Pod ini membolehkan pengisian bahan api di udara dengan menggunakan kaedah probe and drogue.

Ini sekaligus menjadikan KC-135 sebagai pesawat pengisian bahan api di udara yang versatil.

Pengisian minyak di antara KC-135 dan SU-30MKM merupakan antara detik bersejarah di antara WA ANG dengan TUDM pada 12 November 2024.


VIDEO PENGISIAN BAHAN API DI RUANG UDARA KC-135 DENGAN SU-30MKM: 

 


Hubungan persahabatan WA ANG dan TUDM bermula semenjak 2017. Melalui hubungan ini, kedua-dua pihak telah  meningkatkan  keserasian operasi (interoperability) dan keupayaan bersepadu (integrated capabilities).

“Kerjasama seperti ini memperkukuh inisiatif yang diketuai oleh sekutu dan rakan kongsi,

“Ia sekaligus menunjukkan kekuatan dengan menggunakan keupayaan unik AS dan juga yang dikongsi dengan sekutu serta rakan.

“Usaha bersama ini memanfaatkan kelebihan budaya, strategik, dan operasi yang penting bagi mencapai matlamat bersama di rantau Indo-Pasifik,” kata WA ANG dalam satu kenyataan.

Latihan sebegini merupakan salah satu daripada komponen kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Hubungan bilateral diplomatik kedua-dua negara bermula seawal 1957 dan kemudiannya dipertingkatkan kepada Perkongsian Komprehensif pada tahun 2014. Selain dari aspek pertahanan, Malaysia dan Amerika Syarikat turut menjalin pelbagai kerjasama termasuk bidang ekonomi.  – airtimes.my

#TUDM #WAANG #KC135 #STRATOTANKER #SU30MKM #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!