Home Semasa PDRM bakal terima 12 kapal terbang, helikopter baharu ganti pesawat lama

PDRM bakal terima 12 kapal terbang, helikopter baharu ganti pesawat lama

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 13 NOV – Setelah lebih 30 tahun digunakan, kerajaan bakal menggantikan pesawat-pesawat lama kepunyaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jenis terbaharu dan berprestasi tinggi.

Penggantian ini melibatkan pesawat sedia ada iaitu Cessna Caravan 208, Pilatus Turbo Porter PC-6 dan helikopter ringan AS355 Écureuil.

Ini berikutan tender bagi membekalkan pesawat pengganti telah dibuka oleh Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing untuk kapal terbang dan helikopter.

Tender berkenaan menawarkan kepada syarikat yang layak membekalkan tujuh buah kapal terbang dan lima helikopter ringan untuk kegunaan Pasukan Gerakan Unit Udara (PGU) PDRM.

Kontraktor yang berjaya hendaklah membekalkan helikopter-helikopter ini dalam tempoh 2 tahun selepas kontrak dimeterai.

Kedua-dua pesawat Cessna Caravan 208 dan Pilatus Turbo Porter PC-6  memainkan peranan besar dalam operasi PDRM.

PGU memperoleh tujuh kapal terbang Pilatus Porter PC-6 pada 16 Julai 1986 manakala enam kapal terbang Cessna Caravan 208 pada 29 Septermber 1993.

Difahamkan PGU PDRM telah menamatkan khidmat beberapa buah kapal terbang

Pilatus Porter PC-6 selain ada yang terbabit dalam nahas.

Dua varian helikopter Écureuil dioperasikan iaitu tiga buah AS 355 F2 diterima pada 21 Julai 1990 dan lapan AS 355 N (22 Julai 1997).

Selain melakukan rondaan dan pengawasan ruang udara, kapal terbang ini diguna untuk membantu operasi seperti 69 Komando, Unit Tindakhas dan Pasukan Gerakan Am.

Ini termasuklah dalam latihan payung terjun, melaksanakan penerbangan ihsan, pemindahan pesakit dan menghantar bekalan semasa bencana seperti banjir.

Berbeza dengan pasukan tentera, penugasan PGU PDRM lebih bersifat melibatkan tugas-tugas kepolisan selain masyarakat.

Berdasarkan tender, spesifikasi pesawat yang ditetapkan oleh KDN pula mestilah boleh digunakan sebagai pesawat penumpang, kargo, bantuan perubatan dan membawa anggota payung terjun.

Ruang dalam pesawat hendaklah sesuai bagi melaksanakan tugasan yang dinyatakan.

Pintu kargo dan penumpang pesawat pula mestilah mempunyai saiz bukaan yang mencukupi untuk memuatkan pengusung serta mempunyai pintu bagi melakukan penerjunan.

Pesawat juga mesti boleh berlepas dan mendarat di landasan yang tidak berturap selain mampu membawa sehingga 15 penumpang.

Jarak penerbangan pesawat pula adalah sejauh 550 batu nautika dengan minimum 2 juruterbang, seorang  pemerhati dan 13 penumpang dengan muatan sebanyak 150 kilogram.

Berdasarkan spesifikasi, pesawat pengganti yang dikehendaki adalah seperti Canadian DHC-6 300 Twin Otter, Cessna SkyCourier dan N219 buatan PT Dirgantara Indonesia (PTDI).

Bagi helikopter ringan, ciri-ciri adalah pesawat enjin berkembar untuk menggantikan helikopter AS355 Écureuil sedia ada.

Sepertimana diketahui, Écureuil merupakan helikopter ringan antara yang popular di dunia.

Helikopter Fennec yang digunakan TLDM misalnya dibina pihak Airbus atau dulunya Eurocopter berasaskan rekaan helikopter Écureuil.

Beberapa helikopter ringan yang berpotensi untuk merebut kontrak ini seperti Airbus H135, Leonardo AW109 Trekker Light dan Bell 412 EPI.

PGU PDRM dipercayai berminat pada helikopter yang mempunyai ‘landing skid’ sama seperti Écureuil.

Sebenarnya, usaha untuk menggantikan kapal terbang dan helikopter usang ini telah lama dirancang kepimpinan atasan PDRM.

Pada tahun lalu, pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM sudah menyiapkan kertas kerja bagi gantian aset dan jentera untuk pertimbangan dan kelulusan kerajaan.

Ini termasuklah kapal terbang memandangkan aset yang dioperasikan sudah lama dan berusia. -airtimes.my

#AirTimes #Keselamatan #PDRM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!