KUALA LUMPUR, 13 Nov – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan para graduan agar tidak terlalu memilih pekerjaan dan segera merebut peluang ada, khususnya dalam menghadapi persaingan sengit daripada pekerja asing.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih bukan sahaja merugikan diri graduan sendiri tetapi turut memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.
“Jika terlalu memilih pekerjaan, para graduan akan kekal menjadi ‘penganggur terhormat’ dan peluang pekerjaan yang ada akan direbut oleh pekerja asing. Akibatnya, anda semua dan negara akan rugi,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM, pada Rabu.
Sultan Ibrahim turut bertitah menasihati para graduan agar tidak mengamalkan sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, kerana ia akan melahirkan generasi yang lemah dan pasif.
“Perkara seperti ini akan melahirkan sikap malas dan sentiasa menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri,
“Para graduan sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara hendaklah menolak sikap buruk ini. Budaya dan sikap hidup bergantung boleh membunuh keyakinan diri serta inisiatif untuk memajukan diri, akhirnya membenam potensi negara untuk terus maju,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim telah dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh.
Watikah pemasyhuran Canselor disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.-airtimes.my
#Malaysia #airtimes #DaulatTuanku #graduan #pekerjaan