Home Pertahanan dan Keselamatan Sah, kerajaan sewa 28 helikopter bernilai RM16.5 bilion untuk pasukan keselamatan

Sah, kerajaan sewa 28 helikopter bernilai RM16.5 bilion untuk pasukan keselamatan

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 12 NOV – Teka-teki tentang cadangan pihak ketiga menawarkan perkhidmatan sewaan bagi flet helikopter pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nampaknya benar.

Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu  hasrat kerajaan menyewa 28 buah helikopter bagi kegunaan agensi-agensi keselamatan negara.

Keputusan tersebut bagi memenuhi keperluan menjalankan operasi udara harian dan misi-misi tertentu selain peperangan.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.

Mohamed Khaled berkata, perolehan secara pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh 15 tahun.

Ia akan dibuat dan dilaksanakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan tidak mendedahkan jenis helikopter serta syarikat yang terlibat dalam kontrak sewaan itu.

Menerusi kontrak sewaan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima 12 buah helikopter manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2.

Polis Diraja Malaysia pula menerima 7, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan JPM (1).

Ini juga merupakan kali pertama perolehan aset-aset helikopter dalam jumlah besar dibuat secara sewaan bagi kegunaan pelbagai pasukan keselamatan.

Langkah sewaan ini juga dikatakan wajar kerana kosnya merangkumi insuran, penyelenggaraan, alat ganti dan simpanan, kursus dan latihan.

Isu utama tentang ketersediaan dan kesiapsiagaan helikopter sedia ada untuk operasi juga dapat diatasi menerusi kaedah sewaan ini.

Selepas tamat sewaan, kerajaan diberikan pilihan untuk membeli semula aset-aset helikopter pada harga hanya RM1 berbanding RM30 juta hingga RM50 juta sebuah berdasarkan susut nilai.

Sebelum ini pada Mac lalu, Air Times News Network telah menyiarkan artikel berhubung cadangan pihak ketiga menawarkan khidmat penswastaan helikopter.

Cadangan penswastaan ini sebagai opsyen kerajaan untuk melengkapkan flet helikopter lebih pantas berbanding kaedah tender perolehan.

Ini susulan dakwaan seorang pempengaruh politik terkenal yang dimuat naik dalam laman media sosial beliau yang boleh diakses secara terbuka.

Individu itu juga mendakwa, sebuah syarikat tempatan yang mempunyai perniagaan besar dalam perkhidmatan pembekalan helikopter dikatakan bakal mendapat kontrak ini.

Bulan lalu pula, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan mengesahkan bahawa TUDM akan menerima helikopter Leonardo AW149 secara sewaan bagi menggantikan Nuri.

Katanya, helikopter varian ketenteraan itu mematuhi spesifikasi yang digariskan termasuk bagi kegunaan dalam operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR). -airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!