Home Pertahanan dan Keselamatan “Mummy, jangan lupakan adik”, anak titip pesan buat ibu

“Mummy, jangan lupakan adik”, anak titip pesan buat ibu

by Suraya Aziz

“Nanti kalau mummy pergi sana, telefon lah adik. Jangan lupakan adik,” luah Nur Jasmin Dayana dengan penuh emosi kepada ibunya, salah seorang Pegawai Waran wanita yang kini sedang bertugas dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama pasukan Malaysian Battalion (MALBATT 850-12).

Meskipun berat untuk berjauhan dengan keluarga, Pegawai Waran II Norazilawati Abdul Aziz menegaskan, ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Harapan saya agar mendapat pengalaman sebab selama saya berkhimat 22 tahun, ini pengalaman yang saya impikan. Ini kali pertama saya berkhidmat dalam MALBATT,” katanya bersemangat.

Berbekalkan pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang pentadbiran, tugas ini bukan sekadar misi ketenteraan bagi Norazilawati.

Pegawai Waran II, Norazilawati Abdul Aziz bersama suaminya yang juga Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamed Tuah Effendy Asiak. (Foto: Zulhaizi)

Beliau kini bukan sahaja ditugaskan sebagai anggota pengaman malah memainkan peranan penting sebagai anggota wanita dalam meningkatkan keberkesanan operasi dengan membina kepercayaan komuniti setempat, terutamanya wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat konflik.

“Peranan wanita dalam penugasan misi United Nation (UN) adalah untuk meningkatkan keberkesanan misi dari segi membantu membina hubungan kepercayaan, terutamanya dengan wanita tempatan dan kanak-kanak.

“Kami berusaha bukan hanya untuk melindungi, tapi juga memberi peluang kepada komuniti yang terkesan supaya mereka dapat memberi kehidupan yang lebih baik,” jelasnya kepada Air Times.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-12 di Pengkalan Udara Subang, pada Rabu lalu.

Komander Mohamed Tuah Effendy Asiak menitipkan pesan buat isteri tercinta yang ditugaskan sebagai pengaman di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan. (Foto: Zulhaizi)

Dalam pada itu, suaminya yang juga pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamed Tuah Effendy Asiak, turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian isterinya.

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga kerana isteri saya telah terpilih untuk menganggotai pasukan MALBATT ke-12. Ini peluang untuk dia membuktikan selama dia berkhidmat dalam ATM apa yang dia mampu lakukan, dengan segala latihan fizikal dan mental yang telah diberikan,” ujarnya.

Jelas Tuah Effendy, sebagai seorang suami yang turut berkecimpung dalam dunia ketenteraan, beliau memahami cabaran yang dihadapi isterinya serta akur dengan cabaran berjauhan demi tuntutan tugas dan negara.

“Sebagai seorang suami yang berkahwin dengan anggota ATM, kita dari awal sudah menerima keadaan begini,

“Saya pun anggota tentera, biasa tinggalkan dia semasa berada di kapal. Sekarang, kita kena rela kerana ini adalah tugas untuk negara, agama dan bangsa,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Norazilawati berharap agar misi ini berjalan lancar dan setiap anggota MALBATT 850-12 selamat pergi dan kembali ke tanah air,

“Saya minta semua rakyat Malaysia mendoakan kami dan warga MALBATT 850-12 selamat sampai dan selamat kembali ke Malaysia,” luahnya sebak.

Kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang berlepas ke Lubnan pada Rabu lalu bagi meneruskan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah kawalan Markas Sektor Barat UNIFIL. (Foto: N.Huda)

Terdahulu, kumpulan pertama yang diketuai Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Salleh bersama 43 pegawai, seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan 174 anggota termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berlepas ke Lubnan pada Rabu lalu.

Manakala, kumpulan kedua MALBATT 850-12 yang diketuai oleh Mejar Mohd Hafiz Mohd Shah bersama 18 pegawai dan 200 anggota telah berlepas pada Ahad. 

Penghantaran kumpulan ketiga dan keempat pula dijadualkan pada 14 serta 18 November depan menjadikan keseluruhan anggota MALBATT 850-11 adalah 854 orang terdiri 82 pegawai dan 772 anggota.-airtimes.my

#Airtimes #MALBATT #Pertahanan #AnggotaWanita #ATM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!