KUALA LUMPUR, 12 NOV – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agogn, Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kes buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dibendung dan tidak dibiarkan berlarutan.
“Budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini,
“Kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa,” titah Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di akaun laman sosial rasmi baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah latihan keras dalam tentera adalah perkara biasa kerana bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh Baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, baginda menerima mengadap Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #UPNM