Home Semasa Buli kadet: Dibuang, bayar balik kos pengajian – Khaled

Buli kadet: Dibuang, bayar balik kos pengajian – Khaled

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 12 NOV — Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan, tidak akan sesekali berkompromi terhadap kes buli dalam institusi di bawah naungannya dan akan mengambil tindakan tegas dengan memecat mana-mana kadet yang terlibat.

Tindakan ini bakal diambil terhadap seorang pegawai kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas pada Oktober lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, selain diberhentikan, kadet berkenaan juga akan dikenakan tuntutan untuk membayar balik semua kos tajaan yang telah diberikan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Kementerian tidak akan kompromi dalam perkara ini dan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikannya daripada menjadi kadet,

“Kita (MINDEF)  juga akan menuntut balik bayaran tanggungan yang kita telah berikan sepanjang individu itu menjalani latihan sebagai kadet di ALK-UPNM,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan pada Selasa.

Katanya, siasatan penuh daripada Lembaga Siasatan mengenai kes ini telah selesai dan keputusan mengenai hukuman akan ditetapkan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya komited untuk memupuk persekitaran yang selamat dan bebas daripada buli dalam akademi serta akan memastikan individu yang melanggar peraturan disiplin seperti ini dikenakan tindakan paling keras.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pihak, ia kerana kita mempunyai hukuman yang terbatas, paling maksimum ialah untuk memecat daripada menjadi kadet,” tambahnya.

Ujarnya, kementerian sentiasa bersikap terbuka dalam menangani isu buli dan sedia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, termasuk polis, bagi menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang perlakuan keganasan.

Terdahulu, seorang pegawai kadet ALK-UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan pelajar junior, Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di akademi UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras pada 22 Oktober 2024.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. – Airtimes.

#AirTimes #UPNM #Buli #MenteriPertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!