Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan kedua MALBATT 850-12 berangkat ke Lubnan

Kumpulan kedua MALBATT 850-12 berangkat ke Lubnan

by Nurulhuda

SUBANG, 12 Nov – Kumpulan kedua Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 berlepas ke Lubnan hari ini untuk meneruskan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah kawalan Markas Sektor Barat UNIFIL.

Kumpulan kedua ini diketuai oleh Mejar Mohd Hafiz Mohd Shah, terdiri daripada 18 pegawai dan 200 anggota yang akan ditempatkan di 2 penempatan tetap, iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin, untuk melaksanakan tugas operasi di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan oleh UNIFIL.

Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM berkata, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel – Gaza yang telah tercetus sejak 7 Oktober 2023 yang lalu.

Bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia saya dengan setulus ikhlas mengucapkan selamat jalan dan selamat bertugas di bumi lubnan – Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM. Foto: Air Times/N.Huda

Tegasnya, konflik bergolak ini secara tidak langsung memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan ianya menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT sekiranya konflik ini berpanjangan.

“Sehubungan itu, saya berharap kontinjen MALBATT 850-12 sentiasa berwaspada dan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan,

“Harapan saya agar kontinjen MALBATT sentiasa peka dan menghormati budaya masyarakat serta mematuhi segala peraturan dan undang – undang tempatan yang telah ditetapkan,” katanya ketika Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-12 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Datuk Tong memberi penghormatan kepada anggota dan pegawai kumpulan kedua MALBATT 850-12 yang berlepas hari ini. Foto: Air Times/N.Huda

Beliau berkata, penglibatan ini jelas membuktikan bahawa Malaysia amat komited dalam pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan, demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dapat dipertahankan.

Tegasnya, beliau yakin dengan persediaan yang dilaksanakan menerusi Latihan Integrasi 3 Perkhidmatan di MALBATT Village, Port Dickson telah berjaya mempertingkatkan tahap fizikal dan mental bagi membentuk anggota kontinjen yang kompeten dalam melaksanakan tugas misi pengaman kelak.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendoakan agar kontinjen MALBATT 850-12 dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik serta dilindungi selalu.

Terdahulu, kumpulan pertama yang diketuai Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Salleh bersama 43 pegawai, seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan 174 anggota serta 2 pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berlepas ke Lubnan pada Rabu lalu.

Manakala, penghantaran kumpulan ketiga dan keempat dijadualkan pada 14 serta 18 November depan menjadikan keseluruhan anggota MALBATT 850-11 adalah 854 orang terdiri 82 pegawai dan 772 anggota.-airtimes.my

#airtimes #pertahanan #MALBATT #Lubnan #Malaysia #Brunei

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!