Home Pertahanan dan Keselamatan KD Tun Razak dalam keadaan baik, buktikan keupayaan operasi pada kedalaman maksimum

KD Tun Razak dalam keadaan baik, buktikan keupayaan operasi pada kedalaman maksimum

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Tun Razak, terbukti dalam keadaan terbaik dan berupaya beroperasi pada kedalaman maksimum serta memperlihatkan kemampuan operasi yang berkesan.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas melihat sendiri keupayaan KD Tun Razak menyelam pada kedalaman operasi maksimum ketika tinjauan operasi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) KD Selangor di Laut China Selatan, pada Sabtu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata, ia membuktikan keupayaan kapal selam negara beroperasi dengan baik dan berkesan.

“Semasa lawatan ini, saya bukan sahaja ditaklimatkan dengan kemampuan KD Tun Razak, malah diberi peluang menyelam pada kedalaman operasi maksimum,

“Pelayaran ini telah disertai anak-anak kapal yang mahir dan kompeten, yang dilahirkan melalui projek perolehan kapal selam ini,” katanya semalam.

Beliau turut menegaskan, kapal selam ini bukan sahaja melambangkan pemodenan Armada TLDM, malah penting dalam membina imej Malaysia sebagai negara yang memiliki angkatan laut dihormati dan digeruni.

Menurut Khaled, kapal selam Scorpene itu telah diperoleh dari Perancis dan ditauliahkan pada 2009.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled turut berikrar untuk terus memberikan komitmen terhadap usaha pemodenan dan pemerkasaan aset ketenteraan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Armada Timur Laksamana Muda Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.-airtimes.my

#pertahanan #TLDM #KDTunRazak #Sabah #airtimes #Malaysia #aset

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!