KUALA KANGSAR, 9 NOV – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menitahkan agar isu agama dan kaum yang semakin dijadikan bahan politik segera dibendung demi memelihara perpaduan rakyat.
Baginda bertitah menegaskan, apabila agama dan kaum digunakan sebagai ‘mata wang’ untuk meraih keuntungan politik, retorik berlebihan atas nama agama dan slogan provokatif berasaskan kaum semakin dihidupkan, yang akhirnya mengancam keharmonian negara.
“Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung – menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Sultan Perak di Istana Iskandariah, hari ini.
Sultan Nazrin turut menyuarakan kebimbangan baginda terhadap isu-isu agama dan kaum yang terus dimainkan, yang dikhuatiri akan menyemai prasangka dan kecurigaan dalam kalangan rakyat, serta semakin menghilangkan titik penyatuan yang diusahakan bersama.
Justeru, titah baginda negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian kaum di negara ini.
Baginda turut bertitah, semakin didengari juga suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi,
“Selain itu, institusi diraja juga menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa, yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif,” titah baginda lagi. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #DaulatTuanku #airtimes