KUALA LUMPUR, 9 NOV – Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencederakan pegawai kadet junior, Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas, Oktober lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali pada Jumaat, di mana Amirul dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 22 Oktober, sekitar jam 11.45 malam di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi.
Mengulas lanjut, mahkamah membenarkan Amirul diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan 2 penjamin, serta menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes akan berlangsung pada 27 Disember.
Menurut laporan, insiden bermula apabila mangsa dikatakan diminta untuk menggosok pakaian kerja milik tertuduh sebelum ditekap dengan seterika panas di bahagian kanan dada.
Mangsa kemudiannya telah membuat laporan di IPD Cheras dan mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang dialaminya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suspek, pengadu serta pegawai perubatan. -airtimes.
#UPNM #Jenayah #Buli #AirTimes