KUALA LUMPUR, 6 NOV – “Tarik diri secara sukarela tidak ada, kecuali mereka terpaksa menarik diri atas faktor kebajikan”, tegas Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh,
Menurutnya, pasukan MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif selama 3 bulan dan sudah bersedia sepenuhnya untuk dikerah ke negara bergolak, di mana keadaan di sana disifatkan sebagai semakin tegang berikutan krisis kemanusiaan.
“Kami anggota tentera telah terlatih di dalam ketenteraan yang mana latihan ataupun tugas kami semasa dalam aman adalah berlatih untuk berperang dan melaksanakan penugasan dibawah misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tak ada masalah bagi kami untuk diatur gerak di mana-mana,” katanya semasa ditemui dalam Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT-12 di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, pada Rabu.
Mengulas lanjut, katanya, setiap anggota dilatih dengan semangat dan keberanian tinggi, menjadikan ketakutan atau rasa gentar adalah perkara tidak relevan dalam kehidupan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tarik diri secara sukarela tidak ada, kecuali jika dari segi kebajikan. Yang mana ada kebajikan kepada bapa ataupun ibu sakit atau isteri sakit. Dia terpaksa menarik diri. Kalau tarik diri sebab takut tidak ada,” ujarnya tegas.
Dalam pada itu, menurutnya, semua anggota ATM sudah pun “cop 10 jari” sebagai tanda kesediaan menyerahkan jiwa dan raga kepada negara sambil melaksanakan mandat dibawah Misi Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) demi keamanan sejagat.
Misi ini adalah penugasan kali kedua buat Johan Effendi, yang sebelum ini pernah berkhidmat kali pertama di Lubnan sebagai Timbalan Komander untuk pasukan MALBATT 850 siri ke-7, pada tahun 2019 -2020.
Terdahulu, beliau mengetuai perbarisan seramai 220 pegawai dan anggota yang diterbangkan dalam kumpulan pertama MALBATT 850-12 pada Majlis Pemakaian Beret PBB serta penghantaran pasukan ke Lubnan yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau akan memimpin seramai 854 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota termasuk 30 dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan dalam misi pengaman di Lubnan.
Sementara itu, isterinya, Haslinda Rahim, 48, turut berkongsi rasa reda dan bangga terhadap penglibatan serta tanggungjawab besar yang diamanahkan buat kali kedua kepada suaminya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, pada awalnya, beliau menganggap ia sebagai rezeki dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan namun perasaan mula berbelah bahagi setelah mengetahui keadaan terkini di sana.
“Sebenarnya saya agak risau keadaan yang berlaku di sana sekarang, walaubagaimanapun saya dengan besar hati dan reda dengan apa yang ditugaskan kepada suami demi negara.
Ujarnya, tipu sekiranya beliau tidak bimbang akan keselamatan suami di negara bergolak, namun sebagai seorang isteri, dirinya sudah terbiasa berkongsi masa dan komitmen suaminya kepada negara.
“Saya ni berkongsi suami dengan negara, jadi saya reda dan rela untuk dia bertugas di mana sahaja diperlukan. Saya doakan keselamatan mereka, selamat pergi dan balik. Pergi dengan jumlah itu, balik pun dengan jumlah yang sama,” katanya sebak.- airtimes.
#Airtimes #Pertahanan #Malbatt #Lubnan #Malaysia #ATM