KAHERAH, 9 Nov – Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Mesir mulai hari ini bakal melakar sejarah penting hubungan persaudaraan Malaysia dan negara itu.
Duta Besar Malaysia ke Mesir Mohd Tarid Sufian berkata, ini kerana lawatan atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi itu akan membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta asas yang menjadi sinergi ke atas usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global berkepentingan bersama.
Perdana menteri dijangka tiba di sini pada 6.30 petang hari ini waktu tempatan atau 12.30 tengah malam waktu Malaysia.
Tarid berkata, esok Anwar akan disambut El-Sisi dalam satu majlis sambutan rasmi di Istana Al Ittihadiya, diikuti mesyuarat dua hala.
“Sesi perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pelancongan, pendidikan dan hal ehwal agama.
“(Turut dibincangkan berkaitan) penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan air, sumber asli dan kelestarian alam,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan berkenaan.
Tarid berkata, kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutama mengenai konflik Palestin.
Beliau berkata, sempena lawatan itu Anwar dan El-Sisi turut dijadual menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif bagi kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah dan MoU bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.
Selain itu, Anwar juga dijadual menyampaikan ceramah umum di Universiti Al-Azhar, mengadakan libat urus bersama kapten industri tempatan, merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga serta mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di sini.
“Tahun ini merupakan genap 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Mesir, ini merupakan tarikh yang amat bersejarah bagi kedua-dua negara, lawatan ini sangat bertepatan dengan sambutan (ulang tahun) ke-65 (hubungan diplomatik) tersebut.
“…sebenarnya, hubungan 65 tahun itu memang kebetulan dengan tarikh mesyuarat (dua hala) pada 10 Nov (ini) sebab penubuhan hubungan diplomatik (Malaysia dan Mesir) itu pada 10 Nov,” katanya.
Mengiringi perdana menteri dalam lawatan rasmi itu Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Huang Tiong Sii.
Mesir adalah rakan dagangan Malaysia ke-5 antara negara Afrika pada 2023, dengan nilai dagangan berjumlah RM3.35 bilion dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga September 2024 pula, jumlah nilai dagangan direkodkan kedua-dua negara ialah RM3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21.4% berbanding tempoh sama pada 2023 dan nilai dagangan kedua-dua negara tahun ini dijangka mengatasi prestasi tahun lalu.
#semasa #Malaysia #Mesir #Anwar #DSAI #airtimes