Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kesiagaan armada teras utama TLDM jaga kedaulatan maritim

Kesiagaan armada teras utama TLDM jaga kedaulatan maritim

by Nurulhuda

LUMUT, 9 Nov – Empat teras utama akan memacu hala tuju Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi memastikan armada laut negara dapat terus memainkan peranan menjaga kedaulatan maritim.

Teras tersebut adalah memastikan kesiagaan armada, memperkasa penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform), mengukuhkan integrasi dan sinergi (Jointness) dan memperkasa pengurusan sumber manusia.

Perkara ini ditegaskan Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain semasa berucap pada Perbarisan Ulung Panglima Tentera Laut Ke-19 di KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, pada Jumaat.

Tegas beliau, bagi mencapai keempat-empat teras tersebut terdapat tiga keutamaan ditekankan iaitu memperkukuhkan nilai integriti, mengkaji dan membangunkan dasar, polisi serta proses kerja semasa, dan ‘Back to Basics’.

Dalam ucapannya, Zulhelmy mahu semua warga pasukan itu menggunakan pendekatan yang lebih inovatif untuk berdepan dengan perubahan dan cabaran.

Ini memastikan setiap tindakan selari dengan visi angkatan bersenjata itu selain menuntut warga pasukan berusaha lebih keras, berfikir dengan lebih mendalam dan bekerjasama dengan lebih erat.

“Cabaran ini bukanlah halangan, malah peluang untuk kita menunjukkan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa TLDM adalah ‘robust’ dan fleksibel iaitu mampu mengadaptasi dan menghadapi pelbagai situasi dan keadaan dari semasa ke semasa.

“Mari kita ubah pelbagai cabaran ini menjadi peluang,” jelasnya.

Menurut Zulhelmy lagi, cabaran itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi, sosial dan keselamatan di peringkat serantau dan global.

Terangnya, walaupun cabaran itu berubah seiring dengan peredaran masa, tanggungjawab dan misi pasukan itu kekal sejak penubuhan TLDM pada 1934.

Zulhemly yakin barisan kepimpinan dan warga TLDM akan mencetus lebih banyak idea bernas, perancangan yang lebih sistematik dan moden sejajar dengan perubahan landskap semasa bagi menjamin kesinambungan kecemerlangan TLDM yang lebih mapan.

Terdahulu, seramai 554 anggota TLDM terdiri daripada 74 pegawai dan 480 anggota terlibat dalam perbarisan ini diketuai Komander Muammar Ghadaffi Yaakub.

Perbarisan diadakan di Dewan Senaman KD Pelandok, berikutan hujan lebat, manakala acara Lintas Hormat pesawat terpaksa dibatalkan.

Turut hadir Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts Shamsuddin Ludin; Panglima Latihan dan Doktrin, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim Shaari dan barisan Jawatankuasa Laksamana TLDM.-airtimes.my

#TLDM #15to5 #pertahanan #airitmes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!