TANAH MERAH, 9 Nov – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memantau situasi terkini melibatkan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas melaksanakan misi pengaman Malaysian Battalion (MALBATT) di Lubnan, secara harian.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementeriannya juga sentiasa berkomunikasi dengan pasukan MALBATT agar sebarang maklumat seperti penugasan, pengoperasian sentiasa dikemas kini.
Tegasnya, situasi akan dimaklumkan ke peringkat pengurusan tertinggi ATM dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata jika ada sebarang perubahan maklumat melibatkan MALBATT di Lubnan ia akan dimaklumkan oleh Mohamed Khaled dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, saya yakin bahawa pegawai dan anggota kita yang terlibat dalam misi pengaman MALBATT di Lubnan selamat walaupun mereka berdepan dengan pelbagai risiko kerana mereka ini telah dilatih sebelum ke negara berkenaan,
“Walaupun mereka ini bertugas di kawasan perang, tanggungjawab MALBATT adalah untuk memastikan keamanan di Lubnan sentiasa terjamin dan angggota ATM juga telah mengambil langkah-langkah keselamatan,“ katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa MALBATT di Lubnan berikutan 6 anggota MALBATT mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada Khamis lalu.
Mengulas mengenai keadaan 6 anggota MALBATT yang mengalami kecederaan ekoran insiden letupan di Lubnan, Adly berkata keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan susulan.
“Walaupun mereka mengalami kecederaan ringan ia tidak boleh dipandang ringan dan keselamatan anggota ATM sentiasa diutamakan,“ katanya.
Mengulas sama ada MINDEF akan memindahkan anggota MALBATT di Lubnan jika berlaku serangan sekali lagi, Adly berkata perkara itu bergantung kepada UNIFIL kerana ia perlu mengambil kira penglibatan semua negara yang terlibat misi pengaman bersama UNIFIL.
Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) membuat keputusan untuk berundur.
Beliau dilapor berkata, buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia #serangan