Home Pertahanan dan Keselamatan Pelarasan pencen veteran ATM 15 peratus seiring pelaksanaan SSPA – Menteri Pertahanan

Pelarasan pencen veteran ATM 15 peratus seiring pelaksanaan SSPA – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyatakan pelarasan pencen kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak 15 peratus akan dilaksanakan secara berfasa mulai Disember ini.

Pelarasan ini adalah seiring dengan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Saya ingin mengambil peluang di sini untuk menyatakan, sekalipun kes masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang diumumkan oleh kerajaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat, termasuk perkhidmatan ATM, penyelarasan pencen kepada semua pesara, termasuk veteran ATM juga akan dilaksanakan.

“Ini bermakna, bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013, pelarasan pencen fasa pertama akan dilaksanakan pada Disember 2024, berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012,” kata Khaled semasa Perbahasan Pengulungan Belanjawan 2025 untuk Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan fasa pertama pada Disember 2024 adalah sebanyak 8 peratus dan diikuti oleh 7 peratus pada awal tahun 2026.

“Setelah gaji SSPA 2024 diperolehi, pelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera Tetap 1982,

“Jadi, secara ringkasnya, di bawah pelarasan ini, veteran yang berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan sebanyak 8 peratus dan 7 peratus.

“Ini menjadikan jumlah pelarasan pencen mereka adalah sebanyak 15%,”katanya.

Pengumuman itu telah disambut dengan baik oleh Ahli Parlimen Ketereh dan Tangga Batu yang merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri. Kerajaan Madani saja selesaikan hal ini,” ujar Menteri Pertahanan.

#AirTimes #Pertahanan #Veteran #Pencen

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!