Home SejarahTUDM 16 wira Misi HADR di Filipina terima penghargaan

16 wira Misi HADR di Filipina terima penghargaan

by Aqilah Azman

SUBANG, 7 NOV – Seramai 16 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina telah dianugerahkan sijil penghargaan dalam satu majlis di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, penerima sijil penghargaan ini terdiri daripada 3 juruterbang, seorang pembantu juruterbang, seorang pegawai kejuruteraan, 2 kuartermaster udara, 5 juruteknik pesawat, dan 4 anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).

“Majlis ini adalah untuk meraikan perwira dan perajurit negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa melalui komitmen dan dedikasi tinggi dalam menjayakan misi HADR ini,” katanya.

Tambah beliau, anggota TUDM terlibat secara langsung dalam misi HADR yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 2 November di Filipina dan diketuai oleh Methaddaeus Raphael Ak Azis @ Sait TUDM.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan berkata, majlis ini adalah bagi meraikan perwira dan perajurit negara yang telah mengharumkan nama Malaysia dalam misi HADR, di Filipina. Foto : Air Times/Izzat

Misi ini dilaksanakan atas arahan Kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Filipina yang dilanda Taufan Tropika Kristine atau Trami pada Oktober lalu, yang mengakibatkan banjir besar serta tanah runtuh di beberapa wilayah.

Menurut beliau, TUDM berjaya melaksanakan 9 sorti penerbangan sepanjang misi HADR ini, membawa sejumlah 38,537 lbs bekalan bantuan, termasuk 1,812 lbs bot enjin, kanvas tarpaulin (18,125 lbs), serta bekalan makanan (18,600 lbs).

Selain TUDM, pasukan tentera dari negara-negara ASEAN turut serta dalam misi ini, memperlihatkan komitmen ASEAN untuk saling membantu dalam situasi bencana.

“Penglibatan Malaysia dalam misi ini memperkukuhkan komitmen untuk saling membantu dalam kalangan negara ASEAN,

“Pada 2025, Malaysia akan menjadi pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN, memberi peluang untuk memimpin inisiatif serantau dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap bencana alam,” tambahnya.

Keunggulan anggota TUDM dalam misi HADR ini turut diiktiraf oleh Tentera Udara Filipina (PAF) dalam satu majlis penganugerahan pingat yang disempurnakan oleh Panglima PAF, Leftenan Jeneral Stephen P. Parreño di Pangkalan Udara Villamor pada 31 Oktober lalu.

Semua pegawai dan anggota TUDM yang terlibat menerima ‘Military Civic Action Medal’ dan ‘Chief of Staff, AFP Commendation Medal and Ribbon’.

“Saya sebagai Panglima TUDM, mewakili pucuk pimpinan TUDM dan kerajaan Malaysia, ingin merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat.

Kejayaan ini membuktikan kesiagaan TUDM dalam atur gerak pada bila-bila masa bagi melaksanakan misi kritikal. Pembangunan keupayaan TUDM akan terus diberi keutamaan mengikut kemajuan teknologi dan perubahan landskap geostrategik di rantau ini dan dunia,” ujarnya. -airtimes.my

#Airtimes #TUDM #MisiHADR #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!