KUALA LUMPUR, 6 NOV – Gara-gara marahkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, ada individu yang tidak bertanggungjawab telah meletakkan patung voodo di kawasan tempat letak kereta.
Air Times telah menerima beberapa keping gambar yang dikirim oleh pembaca yang menunjukkan patung yang dicucuk dengan banyak jarum. Patung tersebut turut dibaluti dengan kain kuning yang ditulis DBKL.
Tulisan yang sama turut diletakkan pada muka patung tersebut.
Pembaca yang enggan mendedahkan nama berkata, patung tersebut diletakkan di bawah khemah yang menjadi tempat penguat kuasa DBKL kerap berkumpul.
“Patung tersebut baharu sahaja ditemui pada hari ini dan berkemungkinan berkaitan dengan tindakan penguatkuasaan oleh DBKL di kawasan Setiawangsa baru-baru ini,” katanya.
Menurut beliau, patung tersebut ditemui di tempat letak kereta di hadapan Politeknik METrO Kuala Lumpur.
Tinjauan Air Times di kumpulan Facebook Keramat dan Setiawangsa mendapati perkara tersebut telah mendapat perhatian para pengguna media sosial.
Rata-rata pengguna mengutarakan komen masing-masing yang berbelah bahagi sama ada ianya gurauan atau tindakan golongan tertentu yang ingin menyihir warga DBKL kerana marah berikutan usaha penguatkuasaan yang dilakukan mutakhir ini.
Terdapat beberapa warga net dalam kumpulan tersebut menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan tindakan menghantar patung voodo terhadap pihak penguatkuasa.
“Kelakar betul, kau yang niaga menyusahkan orang, mana orang tak report (lapor). Parking (tempat letak kereta) awam habis kau sapu, tempat jadi sesak. Kalau berniaga tak meyusahkan orang, tak akan jadi hal,” kata Muhd Faiz diruang komen.
Komen beliau dibalas oleh Syakir yang kemudiannya menyatakan bahawa peniaga-peniaga di kawasan tempat letak kereta terbabit tidak akan berbuat demikian tetapi sebaliknya mereka telah berpindah ke lokasi lain.
“Bila tak kuat kuasa, kata kerja gaji buta. Bila majlis (DBKL) buat kerja, nko (engkau) pula dengki…hahaha..ini semua tahyul,” kata Aruz. – airtimes.my
#AirTimes #Semasa #Setiawangsa
Nota: Komen netizen disesuaikan dengan ejaan Bahasa Melayu betul tanpa mengubah maksud asal hantaran.