Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-12 persiap mental dan fizikal penuhi tanggungjawab keamanan sejagat

MALBATT 850-12 persiap mental dan fizikal penuhi tanggungjawab keamanan sejagat

by Suraya Aziz

SUBANG, 6 NOV – Atur gerak pengiliran pasukan Malaysian Battalion (MALBATT 850-12) ke Lubnan hari ini dilaksanakan bagi memenuhi tanggungjawab Malaysia di bawah Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL). 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan berterusan Malaysia dalam misi keamanan antarabangsa ini penting untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai penyokong keamanan global. 

“Negara kita telah mempunyai perjanjian persefahaman dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penghantaran ini merupakan kali ke-12 kita menghantar kumpulan ke Lubnan.

“Penglibatan kita sangat penting kerana ia mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap keamanan sejagat, serta membina reputasi sebagai negara yang konsisten dalam diplomasi dan penyelesaian konflik secara aman,” katanya selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-12 di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam.

Mengulas lanjut, pasukan MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif selama 3 bulan, yang merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan 2 bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama, di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mereka juga menjalani ujian psikologi supaya mereka dalam keadaan bersedia untuk memikul misi dan tugas,” ujarnya lagi.

Jelasnya, penghantaran kumpulan MALBATT 850-12 akan dilakukan secara berperingkat melalui 4 sesi penerbangan menggunakan pesawat BATIK AIR dengan seramai 220 anggota telah menjadi kumpulan pertama yang berlepas ke Lubnan pada Rabu.

Kumpulan tersebut terdiri daripada 43 pegawai, seorang pegawai awam dan 174 anggota serta 2 pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

“Kumpulan kedua seramai  219 anggota pada 10 November serta 207 anggota pada 14 November. Manakala, baki seramai 208 pegawai dan anggota kumpulan terakhir pada 18 November,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, beliau tidak menolak bahawa penugasan kali ini dijangka lebih mencabar berikutan situasi konflik yang semakin tegang di Timur Tengah. 

Terdahulu, Mohamed Khaled menyempurnakan pemakaian beret dan penyerahan Jalur Gemilang kepada Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Salleh.

Pertukaran pasukan ini adalah kerana tempoh bertugas bagi Kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian Kontinjen MALBATT 850-12. 

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.-airtimes.my 

#Pertahanan #airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia #ATM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!