Sepanjang minggu lepas, perdebatan tentang pelaburan RM47 juta oleh agensi dana milik kerajaan ke atas satu entiti perniagaan menjadi topik perbincangan hangat.
Banyak pihak mempersoalkan nilai pelaburan sebesar itu.
Disebabkan pelaburan tersebut tidak mengembalikan keuntungan, rasa tidak puas hati diterjemahkan menerusi ulasan-ulasan yang diberikan banyak pihak.
Tidak berminat untuk turut terlibat mengulas, sebaliknya kita ingin melihat apa yang boleh dibelanjakan dalam konteks keperluan pertahanan negara dengan nilai sedemikian.
Bagaimana pun, ini cuma membayangkan sahaja kerana wang pelaburan tersebut adalah milik agensi dana kerajaan tersebut dan bukan kegunaan pertahanan.
Di atas kertas angka RM47 juta adalah besar bergantung kepada apa bentuk kelengkapan yang ingin diperoleh.
Apa yang boleh dibelanjakan sekiranya wang sebanyak itu diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau agensi keselamatan lain?
Dengan bajet RM47 juta, kira-kira 15,500 pucuk pistol automotif Glock Gen 5 boleh beli.
Jumlah ini berdasarkan harga semasa manakala perolehan pula dibuat secara terus oleh kerajaan tanpa melalui orang tengah.
Jumlah ini cukup untuk dibekalkan kepada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dan tidak sekadar kepada pasukan khas.
Glock Gen 5 merupakan varian terkini dalam keluarga pistol Glock meliputi kesemua jenis dengan ciri-ciri yang lebih baik dan telah dipertingkatkan berbanding Gen 4.
Varian Gen 5 juga menjadi pilihan terbaik untuk pasukan tentera.
Jumlah RM47 juta juga boleh membeli lima buah bot pemintas laju (FIC) G2000 Mk11.
Kiraan ini adalah secara kasar berdasarkan nilai perolehan 13 buah bot FIC G2000 Mk1 yang dibuat ATM pada 2021 bernilai RM120 juta.
Jika membuat kiraan matematik secara asas, sebanyak lapan unit pelancar peluru berpandu antikereta kebal Karaok buatan Roketsan, Turkiye boleh dibeli.
Nilai ini bersamaan RM43.6 juta iaitu separuh daripada kos AS$20 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi membeli 18 unit pelancar Karok.
Pertambahan sembilan unit pelancar walaupun andaian sangatlah membantu dalam memperkasakan kuasa tembakan antiarmor Tentera Darat.
Ini kerana Karaok merupakan sistem peluru berpandu antikereta kebal jarak dekat (ATGW-SR) yang boleh dioperasikan pada waktu siang dan malam kerana mempunyai panduan inframerah.
Senjata ini boleh memusnahkan perisai dan kubu pertahanan pada jarak 2.5 kilometer.
Karaok ialah peluru berpandu antikereta kebal yang kemampuannya setara dengan peluru berpandu FGM-148 Javelin buatan Amerika Syarikat.
Dengan beratnya kurang daripada 16 kilogram (kg), sistem itu menggabungkan kepala peledak tandem penembus perisai.
Jika Carl Gustaf 84mm M4 pula, ATM boleh membeli 190 laras senjata ini untuk dibekalkan kepada batalion-batalion infantri.
Ia berdasarkan kos sebanyak RM27 juta yang telah diperuntukkan kerajaan bagi membeli 110 laras senjata itu untuk Tentera Darat.
Sebahagian daripada RM47 juta boleh membiayai kos membeli kelengkapan taktikal baharu bagi melengkapi keperluan operasi dan penggunaan semasa latihan pasukan elit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) difahamkan telah memperuntukkan sebanyak RM19.4 juta bagi pembelian kesemua peralatan tersebut.
Antaranya set kepala yang boleh diserasikan dengan alat komunikasi, ves operasi lengkap dengan aksesori dan plat perisai tahap 3, kit tali pinggang dengan aksesori, pek penghidratan dan cermin mata keselamatan.
Turut dibeli ialah seluar dan baju taktikal berwarna hijau, balaclava, tali pinggang taktikal, lanyard pistol, sarung tangan separuh jari berwarna hijau, pelapik siku dan pelapik lutut.
Walaupun jumlah sebenar keanggotaan pasukan Komando 69 tidak diketahui secara tepat tetapi ia dianggarkan berkekuatan satu batalion iaitu antara 600 hingga 700 pegawai dan anggota.
Bermakna, masih berbaki kira-kira RM27 juta lagi yang mungkin boleh diguna membeli kelengkapan lain, misalnya persenjataan baharu.
Jika diberi RM47 juta, ia boleh membiayai kos melaksanakan program pemanjangan jangka hayat dua buah kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dengan nilai sama juga boleh membeli kira-kira 14 buah bot Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Full Cabin untuk dilengkapkan kepada Pasukan Polis Marin.
Kesimpulannya, banyak yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan pertahanan dan keselamatan jika wang sebanyak RM47 juta dibelanja secara berhemah. – airtimes.my
#Kolumnis #Pertahanan #Bajet2025 #BelanjawanPertahanan