KUALA LUMPUR, 6 Nov – Jabatan Penjara Malaysia menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mewujudkan Akta Tahanan Rumah (Home Detention Act) yang telah diumumkan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu.
Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan fasiliti penjara mengalami kadar pertambahan prospek yang melebihi kapasiti sebenar.
Pada 5 November, jumlah kapasiti keseluruhan yang dilaporkan seramai 87,419 orang berbanding jumlah kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146.
Ini menunjukan peningkatan angka peratusan melebihi 11.24%.
“Kadar pemenjaraan pada masa kini adalah 245/ 100,000 penduduk, berbanding kadar purata pemenjaraan dunia iaitu 145/ 100,000 penduduk.”
“Sehubungan itu keperluan untuk mewujudkan Akta Tahanan Rumah (Home Detention Act) merupakan hukuman alternatif yang membolehkan prospek menjalani hukuman di rumah dengan peraturan-peraturan mengikut masa yang ditetapkan.” katanya.
Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan institusi penjara adalah sebanyak 43 buah di seluruh negara dengan 19 buah mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutamanya penjara di bandar-bandar besar di Malaysia.
Selain itu, Program Pemulihan Dalam Komuniti atau hukuman alternatif baharu yang lain membolehkan pengurangan kesesakan institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan. -airtimes.my
#jabatanpenjaramalaysia #tahananrumah #penjara #airtimes #kesesakan #hukuman