KUALA LUMPUR, 5 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengadakan pertemuan dengan Duta Kuwait ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rashed M R Al-Saleh bagi membincangkan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur milik Tentera Udara Kuwait (KAF).
Dalam hantaran di media sosialnya, Mohamed Khaled menyatakan, pertemuan tersebut adalah rentetan daripada lawatan kerja rasmi beliau ke Kuwait pada awal Oktober lalu.
“Semasa di Kuwait, saya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri negara tersebut,
“Saya turut melawat Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber yang menempatkan skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF,” katanya pada Isnin.
Beliau turut menekankan, perolehan pesawat tempur tersebut berupaya meningkatkan keupayaan dan kesiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pada awal Oktober lalu, Mohamed Khaled memaklumkan, Malaysia secara rasminya telah menyatakan hasrat untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18C/D Hornet yang dioperasikan oleh KAF.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjelaskan, Menteri Pertahanan juga telah menyatakan hasrat untuk memulakan rundingan bagi mengenal pasti kaedah perolehan dan manfaat yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.
Selain itu, TUDM sebelum ini telah menghantar satu pasukan penilaian teknikal ke Kuwait bagi menilai dan menentukan jumlah perolehan F/A-18 Hornet dari negara Teluk itu.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TUDM #Malaysia #Kuwait #pesawat #perolehan