Home Diskusi Lancar peluru berpandu: Respon Korea Utara terhadap gesaan tarik balik tentera dari Rusia?

Lancar peluru berpandu: Respon Korea Utara terhadap gesaan tarik balik tentera dari Rusia?

by Suraya Aziz

Korea Utara sekali lagi mengejutkan rantau Asia Timur dengan melancarkan sekurang-kurangnya tujuh peluru berpandu balistik jarak dekat ke perairan timur Semenanjung Korea pada awal pagi Selasa. 

Tindakan ini mencetuskan spekulasi sama ada ia merupakan tindak balas langsung terhadap gesaan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan agar Pyongyang menarik balik tenteranya yang didakwa dihantar ke Rusia untuk menyokong konflik di Ukraine.

Menurut laporan Reuters, pelancaran ini dikesan sekitar jam 7:30 pagi waktu tempatan dari sekitar kawasan Sariwon di Wilayah Hwanghae Utara dan berlaku hanya beberapa jam sebelum pilihan raya presiden AS. 

Ia secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada Korea Utara sengaja memilih masa tersebut untuk mengirimkan mesej ‘tersirat’ kepada Washington, sekali gus mencerminkan ketegangan antara dua buah negara.

Mengulas lanjut, pelancaran kali ini merupakan yang kedua dalam tempoh kurang seminggu, susulan ujian peluru berpandu balistik antara benua atau nama aslinya intercontinental ballistic missile (ICBM) Korea Utara yang dilakukan Khamis lalu. 

Malah, pada hari yang sama minggu lalu, Korea Selatan, Jepun bersama AS telah mengadakan latihan udara bersama yang melibatkan pesawat pengebom B-1B AS, jet pejuang F-15K dan KF-16 milik Korea Selatan, serta jet F-2 kepunyaan Jepun. 

Pada awalnya, latihan terbabit bertujuan menunjukkan kekuatan dan memberi amaran kepada Korea Utara, namun ia hanya menambah ketegangan apabila Pyongyang menuduh latihan tersebut sebagai latihan persediaan untuk serangan pencerobohan terhadap negaranya.

Menurut penganalisis, tindakan berulang Korea Utara melancarkan peluru berpandu bukan sekadar ujian ketenteraan, namun dilihat sebagai ‘kad ancaman’ serta strategi untuk menunjukkan kekuatan mereka di tengah desakan antarabangsa.

Terdahulu, AS dan Korea Selatan mendakwa askar Korea Utara berkemungkinan dikerahkan untuk terlibat secara langsung di Ukraine susulan tersebarnya foto anggota negara Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) berkenaan memakai pakaian seragam Rusia.

Dakwaan ini bagaimanapun telah dinafikan Pyongyang yang menuduh Washington sengaja memburukkan reputasi negaranya di peringkat global. -airtimes.

#Airtimes #Konflik #KoreaUtara

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!