LUMUT, 5 Nov – Eksesais Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2024 (Eks CARAT 24), latihan bilateral antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS), melabuhkan tirainya hari ini.
Majlis penutup eksesais yang berlangsung dengan penuh simbolik telah diadakan di Auditorium Zain, Pusat Peperangan dan Doktrin (PUSPED), Lumut.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Laksamana Pertama Tay Yap Leong bersama Capt Pasit Somboonpakron, Atase Pertahanan Amerika Syarikat ke Malaysia.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, Eks CARAT 24, yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 5 November itu berkonsepkan Keselamatan Maritim (Maritime Security) yang bertujuan memperkukuh kebolehoperasian antara ATM dan TLAS, dengan penglibatan lebih 800 anggota ATM dan TLAS.
Eksesais ini terbahagi kepada 2 fasa: Fasa Pelabuhan yang melibatkan perbincangan strategik dan latihan persediaan, serta Fasa Laut yang diadakan di perairan Utara Selat Melaka.
Antara aset yang terlibat dalam latihan ini adalah KD TERENGGANU, KD RENCONG, dan USS DEWEY.
Menurut Tay Yap Leong, Eks CARAT 24 bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-AS dalam memastikan keselamatan maritim tetapi juga mengukuhkan hubungan diplomatik serta persahabatan antara anggota ATM dan TLAS.
Antara aktiviti utama dalam eksesais ini adalah Subject Matter Expert Exchange (SMEE) dan Field Training Exercise (FTX) yang merangkumi bidang seperti Operasi Amfibi, Kejuruteraan, Perubatan, Perlindungan Pasukan, dan Kesedaran Domain Maritim (MDA).
Selain itu, Program Tindakan Sivik (Civic Action Programme – CAP) turut diadakan melalui hubungan dengan komuniti setempat, termasuk persembahan gabungan oleh band Badan Kesenian TLDM dan The US 7th Fleet Band di Lumut Waterfront dan AEON Mall Manjung.
SMEE berlangsung selama 3 hari dari 29 hingga 31 Oktober, memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pendapat dan pengalaman dalam pelbagai subjek seperti Women and Peace, Operasi Amfibi, Aviation, Medical Engagement, dan Visit, Board, Search, and Seizure (VBSS).
Fasa Laut pula, ia menyaksikan latihan FTX dari 1 hingga 3 November, di mana VBSS dan Medical Evacuation (MEDEVEC) dilaksanakan dengan jayanya di atas KD RENCONG, menunjukkan profesionalisme tinggi peserta.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 Eks CARAT sejak ia mula dilaksanakan pada 1995, menjadi bukti kerjasama kukuh Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang keselamatan maritim.
Kejayaan Eks CARAT 24 diharap menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat pada masa depan, demi menjadikan rantau ini lebih aman, stabil, dan makmur.
Turut hadir, Pegawai Memerintah 96 HAT, Brigadier Jeneral Datuk Pahlawan Dr. Musa Kasmin, Pengarah Eksesais Eks CARAT 24, Kepten Yusman Darmawan serta pegawai kanan dan peserta eksesais.-airtimes.my
#pertahanan #ATM #TLAS #AmerikaSyarikat #latihanbilateral #EksCarat24 #airtimes