Home SemasaGlobal Sheikh Naim Qassem ambil alih pimpin Hizbullah, Israel anggap “pelantikan sementara”

Sheikh Naim Qassem ambil alih pimpin Hizbullah, Israel anggap “pelantikan sementara”

by Suraya Aziz

BEIRUT,  4 OKT – Israel secara terbuka menyindir pelantikan Sheikh Naim Qassem sebagai pemimpin baharu Hizbullah, sekali gus meragui keupayaanya untuk meneruskan perjuangan menentang rejim Zionis seperti yang diwariskan oleh Sheikh Hassan Nasrallah. 

Melalui kenyataan Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant di akaun rasmi X, Israel menyifatkan pelantikan Qassem sebagai tidak lama dan sementara.

“Pelantikan sementara. Tidak lama,” kata Yoav Gallant berserta gambar Qassem yang dimuat naik dengan niat tidak baik.

Sementara itu, memetik laporan Reuters, Israel turut mendakwa bahawa jawatan Qassem sebagai pemimpin baharu dalam pertubuhan berkenaan mungkin yang “paling singkat” dalam sejarah sekiranya beliau mengikut jejak langkah pemimpin terdahulu iaitu Hassan Nasrallah dan Hashem Safieddine.

Katanya, Israel mendakwa bahawa membubarkan Hizbullah sebagai pasukan bersenjata adalah satu-satunya penyelesaian untuk konflik di Lubnan.

Mengulas lanjut, Qassem, 71, secara rasmi dilantik minggu lalu untuk memimpin Hizbullah dalam tempoh tegang antara Israel dan Lubnan, selepas pemimpin calon lain, Hashem Safieddine, terbunuh dalam serangan pada awal Oktober.

Tidak seperti Nasrallah yang terkenal dengan serban hitamnya sebagai lambang keturunan Nabi Muhammad dalam kalangan Syiah, Qassem sering tampil dengan serban putih, simbol peranannya sebagai seorang ulama yang dihormati dalam kelas agama dan masyarakat Lubnan.

Dalam ucapan sulungnya melalui Telegram pada Selasa lalu, Qassem dengan penuh semangat menegaskan bahawa pejuang Hizbullah akan kekal berada di landasan untuk menghapuskan rejim Zionis seperti yang terkandung dalam agenda pemimpin terdahulu. 

“Mereka yang menyokong perang ganas Israel di Gaza sebenarnya sudah lupa dengan pembunuhan dan penindasan rakyat Palestin selama 75 tahun. Lebih baik kita bangkit menentang daripada berdiam diri,” tegasnya.

Dilahirkan di Kfar Kila, Nabatieh iaitu perkampungan Lubnan yang sering menjadi sasaran serangan Israel, Qassem berpengalaman luas dalam bidang politik, strategi ketenteraan dan sudah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1991 di bawah kepimpinan Abbas al-Musawi. 

Pelantikannya kini bukan sahaja menandakan kesinambungan perjuangan panjang Hizbullah di rantau itu namun turut  menamatkan teka-teki mengenai pengganti Nasrallah yang gugur syahid pada 27 September 2024 lalu. -airtimes.

#AirTimes #Global #Lubnan #Konflik

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!