FILIPINA, 1 Nov – Keberanian dan komitmen anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam membantu mangsa Taufan Trami di Filipina telah mendapat penghargaan tinggi dari Tentera Udara Filipina (PAF).
Pengiktirafan ini mencerminkan keutuhan kerjasama serantau dalam menangani bencana kemanusiaan yang besar.
Menurut TUDM, pasukan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) turut menerima pengiktirafan dari PAF atas bantuan yang diberikan susulan Taufan Tropika Kristine (Trami) yang mengakibatkan banjir besar serta tanah runtuh di Filipina berkenaan sejak awal minggu lalu.
Majlis pengikhtirafan yang berlangsung Pada Khamis di Gimnasium Serba Guna PAF di CJVAB, Pasay City ini bertujuan untuk menghargai sumbangan dan kerjasama tentera udara asing dalam misi HADR bagi membantu kerajaan Filipina dalam operasi tindak balas Taufan Kristine/Trami.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Panglima PAF, Leftenan Jeneral Stephen P. Parreño; Timbalan Panglima PAF, Mejar Jeneral Augustine S. Malinit serta tetamu kehormat lain dan wakil-wakil dari setiap tentera udara yang terlibat dalam misi HADR.
Leftenan Jeneral Parreño dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada tentera udara asing yang terlibat dalam memberikan komitmen dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.
“Bantuan ini sekaligus memberikan sinar harapan baru buat rakyat Filipina yang terjejas disamping menekankan pentingnya kerjasama antara setiap angkatan udara dalam menjaga keamanan serantau,” jelasnya TUDM dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Pada Sabtu lalu, TUDM telah mengaturgerakkan sebuah helikopter EC 725 AP bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan ke Filipina.
Misi ini diketuai Mejar Thaddeus Raphael ak Azis @ Sait TUDM, bersama 15 anggota TUDM, termasuk 2 juruterbang, seorang pembantu juruterbang, 2 pegawai kejuruteraan, 2 kuartermaster udara, 5 juruteknik pesawat, dan 4 anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).-airtimes.my
#TUDM #Malaysia #Filipina #HADR #bantuan #TropikaKristine #airtimes