Home Semasa Tun Mahathir: Dunia takut bertindak, Israel terus luaskan pencerobohan

Tun Mahathir: Dunia takut bertindak, Israel terus luaskan pencerobohan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan Israel dan mempersoalkan negara mana yang mungkin akan menjadi sasaran rejim itu selepas Palestin.

Menurutnya, dunia tidak mampu menghalang rejim Israel kerana terlalu takut kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

Malah, secara sinis, bekas Perdana Menteri itu mendakwa, sebarang tindakan ke atas kroni AS itu, hanya mengundang Perang Dunia Ketiga.

“Israel sudah menceroboh Lubnan. Apa pula selepas Lubnan? Hamas dan Hezbollah masih wujud. Mereka mungkin berpindah ke tempat lain,

“Untuk menghapuskan 2 kumpulan Palestin ini, Israel perlu menjejak mereka. Adakah selepas ini Israel akan menceroboh pula negara lain yang menerima rakyat Palestin?” soalnya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Dr. Mahathir turut menekankan bahawa, dengan bantuan senjata dan dana daripada AS dan Eropah, Israel mungkin akan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang halangan antarabangsa.

Tambahnya, Israel tidak akan menghentikan serangan mereka, sebaliknya menikmati tindakan terbabit.

“Bersedia untuk ‘disembelih’ oleh Amerika dan Israel. Kehilangan beberapa juta orang Arab Islam, bukan kerugian besar. Teruskan memujuk Israel untuk gencatan senjata,

“Mereka tidak akan berhenti, mereka seronok dengan apa yang mereka buat,” ujarnya lagi.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi bagi gencatan senjata segera.

Setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, jumlah keseluruhan korban akibat serangan Israel kini menghampiri 43,000 orang manakala lebih 100,000 yang lain dilaporkan cedera. -airtimes.my

#semasa #airtimes #TunMahathir #Malaysia #palestin #gaza #serangan

Related Articles

Leave a Reply