Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais HARINGGAROO: Malaysia-Australia persiap kepakaran hadapi ancaman insurgensi

Eksesais HARINGGAROO: Malaysia-Australia persiap kepakaran hadapi ancaman insurgensi

by Nurulhuda

SIBU, 28 Okt – Eksesais HARINGGAROO Siri 74/2024 diantara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) yang berakhir semalam berfungsi sebagai platform perkongsian pengalaman serta kepakaran dalam Peperangan Melawan Insurgensi (PMI).

Latihan bilateral yang julung kali diadakan di Bumi Kenyalang bermula 24 Oktober lalu menyaksikan pembabitan anggota dari Batalion Ketiga Rejimen Renjer DiRaja (3 RRD) yang mewakili TDM dan Rifle Company Butterworth (RCB) daripada TDA.

Menurut Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd), latihan ini memberi peluang bagi kedua-dua angkatan untuk berkongsi pengalaman dalam PMI, khususnya dalam operasi hutan.

“Latihan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama bilateral di bawah Malaysian Australian Joint Defence Programme (MAJDP), yang bermula sejak 1977 melalui eksesais yang dahulu dikenali sebagai Eksesais SCORPION sebelum diubah kepada HARINGGAROO (Harimau dan Kanggaroo),

“Pada asalnya eksesais ini adalah untuk menunjukkan kekuatan kepada blok Komunis pada tahun 1970-an,” jelas 9 Bgd dalam kenyataan.

Eksesais ini juga bertujuan menguji kesiagaan Trup 3 RRD dan RCB dan membuktikan komitmen kedua-dua angkatan untuk terus melaksanakan latihan bilateral.

Latihan ini dilaksanakan dalam 2 peringkat iaitu Cross Training Exercise (CTX) yang melibatkan pembelajaran silang, dan Field Training Exercise (FTX) yang diakhiri dengan simulasi serangan ke atas khemah musuh.

Sebagai sebahagian daripada misi Civil Military Co-operation (CIMIC), aktiviti kemasyarakatan turut diadakan di Sekolah Kebangsaan Batu 15, Kem Oya, termasuk menceriakan landskap sekolah dan menyumbang buku-buku ilmiah kepada para pelajar.

Upacara penutup eksesais telah disempurnakan oleh Panglima 9 Bgd, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun dan Komander 7th Brigade Tentera Darat Australia (TDA) Brigedier Giles J.S. Cornelia.

Turut hadir, Ketua Staf Markas 9 Briged, Leftenan Kolonel Muhammad Samzie Gusang, Pegawai Memerintah 3 RRD, Leftenan Kolonel Majani Japon, Commanding Officer 2nd/30th Training Group, RCB-TDA, Lt Kol Richard Trembath dan Pegawai-Pegawai Pemerintah pasukan bawah naungan Formasi 9 Briged.-airtimes.my

#airtimes #TDM #TDA #Malaysia #australia #3RRD #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply