Home Semasa Taufan Tropika Trami: Malaysia hulur bantuan kemanusiaan dan bencana ke Filipina

Taufan Tropika Trami: Malaysia hulur bantuan kemanusiaan dan bencana ke Filipina

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Malaysia mengambil langkah proaktif dengan menghantar Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kepada Filipina susulan Siklon Tropika Trami, yang menyebabkan banjir besar serta kerosakan meluas.

Bencana ini telah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dengan ribuan lagi penduduk terkandas, manakala kira-kira 2.8 juta orang dilaporkan terjejas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Helikopter EC725 bersama 16 anak kapal telah dihantar pada Sabtu bagi misi tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, pasukan berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba Pangkalan Udara Villamor, Manila pada jam 2.48 petang.

“Tempoh penugasan adalah selama lapan hari, bermula 26 Oktober hingga 2 November 2024,

“Seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar keadaan di Filipina segera pulih dan segala usaha bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, pada 24 Oktober lalu, Kerajaan Filipina telah mengemukakan nota diplomatik kepada Kedutaan Malaysia di Manila untuk bantuan kemanusiaan dan bencana dalam bentuk aset udara serta logistik untuk penghantaran barangan bantuan ke kawasan yang terjejas bencana.

Susulan itu beliau menjelaskan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Malawakil Malaysia di Filipina melaksanakan koordinasi HADR.

“Sebagai tindakan segera, Malaysia telah menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan-kawasan yang terjejas serta pasukan SMART yang bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR,”jelasnya lagi.

Menurutnya, Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Kerajaan Filipina dalam misi bantuan kemanusiaan itu.

Taufan Tropika Trami yang kini berundur ke laut telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 kematian, dan ribuan mangsa masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka.

Pusat Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (AHA Centre) melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kematian direkodkan, 197,000 mangsa dipindahkan, manakala kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Filipina #bantuan #TUDM #NADMA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply